Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Najib Tun Razak tidak akan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN), sebaliknya akan kekal menerima rawatan di hospital kerajaan iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Itu kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin seperti dilaporkan BH Online.

Menurut Khairy, Najib akan terus berada di HKL seperti yang termaktub dalam prosedur banduan yang ditetapkan selama ini.

“Saya sudah menghubungi Pengarah HKL, Datin Paduka Dr Rohana Johan yang memaklumkan Najib kini dalam keadaan stabil. Najib tidak akan dihantar ke IJN kerana prosedur banduan adalah mereka perlu dirujuk ke hospital kerajaan.

“Disebabkan tidak mahu ada pertikaian selepas ini, jadi saya minta kepada HKL dan Timbalan Ketua Pengarah Perubatan, Datuk Dr Asmayani Khalib, untuk memberikan rawatan susulan yang diperlukan oleh Najib.

“Jika ujian kesihatan yang dilaksanakan ke atas Najib sudah selesai, laporan itu akan diserahkan kepadanya (Najib) dan juga mahkamah, jadi tiada lagi pertikaian selepas ini,” katanya.

IJN adalah sebuah entiti swasta atau badan dikopratkan dibawah Kementerian Kewangan. Setiap pusat perubatan termasuk IJN adalah berdaftar dibawah Akta 586.

Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bekas Perdana Menteri itu berkemungkinan dirujuk ke IJN selepas mengalami masalah tekanan darah.

Baca artikel berkaitan: Najib masuk HKL, bicara kes 1MDB dilapangkan

Beliau berkata demikian selepas prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini yang sepatutnya mendengar perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Najib.

Muhammad Shafee memberitahu Mahkamah Tinggi, keadaan tekanan darah tinggi bekas Perdana Menteri itu dilaporkan tidak menentu dengan puncanya tidak diketahui.

Menurut Muhammad Shafee, Najib akan menjalani beberapa ujian kesihatan yang akan mengambil masa beberapa hari bagi menentukan punca keadaannya dan mungkin dirujuk ke IJN.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapi Najib hari ini ditangguhkan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan prosiding kepada petang esok untuk mendapatkan perkembangan lanjut mengenai keadaan Najib.

Najib, 69, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram