Lim Teong Kim menandatangani kontrak selama dua tahun dengan pilihan perbaharui kontrak untuk setahun lagi bersama Perak FC. GAMBAR: Facebook Perak Football Club

PERAK FC membuat kejutan apabila berjaya mengikat bekas Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih bagi musim 2023.

Bekas pengemudi skuad remaja Bayern Munich itu telah pun menandatangani kontrak selama dua tahun dengan pilihan perbaharui kontrak untuk setahun lagi.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, sudah tiba masa bagi pasukan itu menyusun semula skuad The Bos Gaurus selepas tiga kekalahan berturut-turut dalam perlawanan Liga Perdana.

Menurut Azim, pasukan tersebut terpaksa menjalani tempoh peralihan dan kini telah menyelesaikan semua masalah yang timbul.

“Tiada lagi alasan untuk musim depan kerana kami mempunyai masa yang cukup dan jurulatih terkemuka yang telah ditambah dalam senarai kami.

“Matlamat utama kami ialah menstabilkan kelab dan mengekalkan status kompetitif dengan pengambilan skuad baharu.

“Pandangan Teong Kim dalam pengurusan akar umbi dan pengendalian pemain muda sangat penting kepada Perak FC dalam proses membina semula pasukan mampan yang boleh bersaing untuk merebut kejuaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: “Jangan nak temberang,” kata Tunku Ismail selepas Teong Kim nafi minta gaji mahal

Dalam kenyataan sama, Perak FC turut mengucapkan terima kasih kepada Yusri Che Lah atas usaha dan kerja keras sepanjang berkhidmat selaku ketua jurulatih bagi musim ini.

Bagaimanapun, Yusri masih kekal bersama pasukan tersebut dan akan diberi peranan mengendalikan skuad B-23 Perak FC bagi musim hadapan.

Pada masa sama, Perak FC juga akan memberikan sebanyak 10,000 tiket percuma untuk perlawanan terakhir liga menentang Kuching City FC, Sabtu ini.

Untuk rekod, Teong Kim mempunyai pengalaman melatih selama 12 tahun dengan pasukan Bawah 19 tahun Bayern Munich.

Antara pemain terkemuka dunia hasil ‘air tangan’ Teong Kim termasuk Thomas Muller, David Alaba, Toni Kroos dan Emre Can.

Beliau juga pernah berkhidmat di Bologna FC dan mengendalikan bakat seperti Nicola Sansone dan Roberto Soriano.

Di peringkat tempatan, Teong Kim pernah memegang jawatan Pengarah NFDP pada tahun 2013 dan dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada tahun 2016.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram