PENYERTAAN Malaysia dalam Ekspo 2020 Dubai baru-baru ini telah berjaya mencatatkan potensi perdagangan dan pelaburan keseluruhan bernilai RM77,25 bilion, iaitu melepasi sasaran sebanyak tujuh kali ganda, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, jumlah itu melebihi sasaran awal yang ditetapkan kerajaan iaitu untuk mencapai antara RM8 bilion hingga RM10 bilion pulangan perdagangan dan pelaburan sepanjang enam bulan penyertaan ke ekspo itu.
“Kejayaan ini diraih melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman atau Perjanjian Perkongsian dan Surat Niat melibatkan syarikat-syarikat serta pihak-pihak luar
termasuk dari Amerika Syarikat, China, Emiriah Arab Bersatu, India, United Kingdom dan Qatar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis makan malam sempena majlis apresiasi Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai di Kuala Lumpur, malam ini.
Katanya, penyertaan Malaysia dalam ekspo itu juga telahmembuka peluang kepada 426 buah syarikat tempatan termasuk syarikat pemula, serta Perusahaan Mikro, Kecil
dan Sederhana mengembangkan sayap perniagaan mereka ketika dunia sedang berdepan cabaran pandemik COVID-19.
“Sesungguhnya kejayaan ini adalah cerminan kepada semangat kebersamaan yang menjadi antara teras Keluarga Malaysia, sehingga negara mampu melakarkan nama di persada antarabangsa. Keluarga Malaysia yang saya kasihi,” tambahnya.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, sejumlah 4,971 pertanyaan perniagaan turut direkodkan dan bagi memaksimumkan peluang perdagangan dan perniagaan, Pavilion Malaysia yang mewakili penyertaan negara pada Ekspo berkenaan juga berjaya mengadakan sebanyak 2,555 sesi padanan perniagaan secara fizikal dan maya.
Katanya, secara keseluruhannya, Pavilion Malaysia telah menerima sejumlah 1.2 juta pengunjung, malah disenaraikan sebagai satu daripada lima pavilion paling hijau dan merupakan antara tujuh pavilion paling digemari oleh media antarabangsa.

BERITA BERKAITAN Ekspo Dubai: Rangkul Anugerah Emas bukti komitmen terhadap kelestarian alam – PM
Ismail Sabti berkata, di Ekspo 2020 Dubai, pengisian Pavilion Malaysia tercetus daripada tema, pemangkin dasar dan pemacu perubahan yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Pavilion ‘Kanopi Hutan Hujan’ yang diilhamkan bersumberkan hutan tropika Malaysia seperti Taman Negara Endau-Rompin melambangkan hubungan sinergi antara kemajuan ekonomi, sosial dan alam sekitar di Malaysia.
“Menerusi pameran dan pengisian Pavilion Malaysia, para pengunjung telah didedahkan tentang pentingnya manusia melindungi alam sekitar dan perlunya kehidupan dijalani dengan cara yang sihat,” katanya.
Beliau berkata, Pavilion Malaysia menunjukkan kepada dunia bagaimana penggunaan sains, teknologi dan inovasi diterapkan dalam memacu pembangunan dan pertumbuhan hijau seperti menggabungkan ciri-ciri hijau seperti tadahan air hujan, teknologi solar dan bahan binaan terpakai dengan karbon rendah dan boleh dikitar semula.
“Kesemua ini membuktikan manusia boleh hidup secara harmoni dengan mengekalkan alam semula jadi dan menimbulkan kesedaran global tentang dunia dan tanggungjawab bersama kita dalam mentadbirkannya. Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
“Saya yakin, impak penyertaan di Ekspo 2020 Dubai akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi dan pembentukan negara pada masa hadapan apabila kerjasama perdagangan yang diperoleh termasuklah rumah pintar hijau, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pertanian, tenaga bersih dan banyak lagi penyelesaian masa depan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

