PENYATUAN dua jenis instrumental yang tetap membawa nuansa bahagia dalam setiap karya atau lagu menjadi ‘senjata’ buat pemuzik legenda tanah air, Man Kidal untuk bergabung dengan gadis manis yang jemarinya ligat mengesek violin, Rania Imtiaz.

Bukan sebuah paduan biasa-biasa, bayangkan bagaimana kelak bunyi petikan gitar Man
Kidal bergabung dengan gesekan violin Rania yang cukup mengasyikkan menerusi single Sentuhan Kidal.

Sementelah Rania baru berusia 14 tahun akan ‘bersanding’ bakat dengan salah seorang
pemain gitar terbaik yang dilahirkan di Malaysia yang kini mencecah usia 58 tahun.

Menurut Man Kidal kolaborasi yang dilakukan bersama Rania bersifat unik kerana paduan
bunyi instrumen berbeza iaitu petikan gitar rock dan gesekan violin Melayu Tradisional yang dimainkan oleh mereka akan menghasilkan sesuatu yang jarang diketengahkan di negara kita.

“Saya melihat bakat besar yang dimiliki Rania harus diketengahkan. Untuk seorang gadis
berusia 14 tahun dan menekuni kecintaannya bermain violin serta mengangkat martabat lagu Melayu tradisional yang sudah semakin berkurangan dalam generasi masa kini, industri seni kita harus menyambut dan meraikannya dengan baik,” katanya.

Apa lagi gadis manis ini juga bukan sembarangan gadis. Dia merupakan penerima anugerah dari Kementerian Perpaduan Negara sebagai Ikon Merakyatkan Perpaduan Keluarga Malaysia.

Lantas bakat yang sudah pun diiktiraf tidak menimbulkan keraguan bagaimana gabungan epik ini akan terlahir kelak.

Bagi Rania pula, menjalinkan kerjasama dengan Man Kidal umpama sebuah impian yang luar biasa.

Apa lagi sebagai salah seorang pencinta yang sangat menghargai hasil seni muzik,
dapat mengembangkan bakat lebih komersial adalah sebuah kesempatan keemasan yang tidak wajib disia-siakan.

Bukan pertama kali terlibat dengan penyanyi tempatan termasuk Hazama, namun ‘pernikahan’ petikan gitar rock Man Kidal dan gesekan tradisional violin Rania disifatkan sebagai ikatan harmoni dalam seni muzik.

“Saya pernah bertemu Uncle Man Kidal dalam sebuah acara dan dari situ kami berbincang tentang muzik.

“Kami berbincang untuk mengharmonikan bunyi gitar rock dengan lagu tradisional Melayu kerana berpandangan lagu tradisional Melayu jika dimasukkan elemen rock boleh memberikan kelainan dan menarik minat lebih ramai orang tanpa merosakkan nilai-nilai kemelayuan yang ada dalam lagu tersebut,” ujar Rania.

Selain itu, kata Rania gabungan muzik yang diadunkan ini juga untuk membuka mata generasi sebayanya dan generasi sedia ada terhadap keindahan lagu-lagu Melayu tradisional.

Rania yang akan menduduki Peperiksaan Gred 8 Violin mula serius menekuni seni mengesek alat muzik tersebut sejak usia enam tahun selepas tertarik dengan keindahan bunyi yang tenang sewaktu mengikut ibu bapanya ke sebuah majlis.

“Saya selalu pandang seorang pemain violin sangat berdisiplin kerana apabila violin ada di bahu ia seperti memegang tanggungjawab atau amanah untuk menjadikan bunyi gesekan itu sedap didengar,” katanya lagi.

Sangat mengagumi dan menghormati Man Kidal yang digelar Mahaguru, Rania berharap
gabungan mereka menjadi lambang bahawa muzik menyatukan dua genre muzik berbeza daripada dua jarak umur berbeza dengan jarak pengalaman yang jauh berbeza dan dua instrumen muzik berbeza.