Tangkap layar video TikTok yang tular di media sosial memaparkan Datuk Rosyam Nor dikatakan merendahkan martabat kaum wanita.

“PERINGATAN kepada (Datuk Seri) Rina Harun, tolong fokus kepada isu-isu yang lebih penting. Jangan keluar selepas isu viral sahaja.”

Itu kata Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim mengulas mengenai video tular melibatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dengan pelakon serta pengarah, Datuk Rosyam Nor yang dikatakan merendahkan golongan wanita.

Menurut Norliza, Rina sepatutnya memberi tumpuan kepada isu polemik yang lebih mendalam.

Kata beliau, banyak isu melibatkan kanak-kanak dan wanita terutama gangguan seksual serta keganasan rumah tangga yang perlu menjadi fokus utama.

“Isu Bella terutamanya menjadi tanda tanya apa tindakan susulan daripada YB (Yang Berhormat)?

“Rentetan kepada penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak dilihat seperti tidak berfungsi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kementerian beri peringatan terhadap 1,028 pusat jagaan tidak berdaftar – Rina

Dalam video yang dimuat naik ke akaun TikTok Rina itu, Rosyam dikatakan menggunakan bahasa yang kasar terhadap golongan wanita.

Video yang difahamkan merupakan promosi kepada Program Keusahawanan Wanita [email protected] bermula hari ini itu memaparkan Rosyam mengatakan wanita ‘suka bangun lambat’ dan akan ‘membelasah’ mereka yang berjumpanya.

Bagaimanapun, Rina seperti dipetik BH Online mengatakan video tersebut cuba disensasi dan dipolitikkan.

Mengulas lanjut, Norliza secara peribadi turut menasihatkan Rosyam supaya menggunakan bahasa yang lebih baik dan bukan merendah-rendahkan wanita.

Walaupun isu tersebut dilihat kecil, namun Norliza menegaskan, hati wanita mudah tersentuh.

“Benar jika wanita merajuk, siapa yang akan pujuk tetapi kalau sudah tawar hati, wanita juga punya harga diri.

“Berhentilah menjadikan wanita sebagai bahan gurauan,” tegasnya.

Norliza turut memberi pesanan kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh supaya berhenti menanam rasa kebencian dengan tidak menceritakan intipati dan matlamat video promosi itu dilakukan.

“Ingin saya berpesan kepada Hannah, adalah lebih baik melihat video itu secara penuh.

“Namun, apa yang berlaku itu benar mengguris hati,” jelasnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram