Datuk Seri Bung Moktar Radin. GAMBAR: Abd Razak Aid

HAMPIR semua bahagian Barisan Nasional (BN) Sabah telah memberi cadangan senarai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, senarai itu kini sedang diteliti sebelum keputusan muktamad dilakukan.

Jelas beliau, pengumuman mengenai calon yang akan bertanding dalam PRU-15 itu akan diumumkan pada masa yang sesuai.

“BN Sabah khususnya UMNO sudah menerima senarai calon yang dicadangkan dari setiap bahagian dan kita sedang meneliti serta memperhalusinya sebelum memuktamadkan nama yang sesuai.

“Apabila tiba masanya nanti, kita akan mengumumkan calon-calon yang bertanding itu,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Baca lagi: Bahagian UMNO Sabah diminta kemuka lima nama calon PRU-15

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, BN Sabah masih perlu memperbaiki beberapa perkara khususnya persediaan jentera untuk berada dalam keadaan terbaik bagi menghadapi PRU-15.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah memaklumkan, BN Pusat dan negeri tidak hanya bergantung kepada laporan di atas kertas tetapi perlu melihat kekuatan jentera di peringkat akar umbi yang akan menjadi penentu kemenangan nanti.

Menurut Bung Moktar, BN Sabah ketika ni lebih menumpukan untuk memperkasa lagi jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan cawangan.

Tegas beliau, langkah itu diambil memandangkan kedua-dua segmen itu adalah jentera penting di peringkat akar umbi.

“Kunci kemenangan adalah kekuatan jentera akar umbi dan apa yang penting ialah buat kerja yang terbaik di peringkat PDM, cawangan. Kita bekerja cara mahu menang dan kekuatannya ada di sini.

“Tiada gunanya UMNO BN hanya kuat di peringkat bahagian tetapi di peringkat PDM berterabur, sebab itu jentera di peringkat PDM dan cawangan perlu diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu perlu memandangkan jentera BN negeri akan berhadapan PRU-15 secara berseorangan menerusi gabungan kerjasama semua parti komponen BN.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram