Tengku Razaleigh Hamzah. GAMBAR: Abd Razak Aid

SITUASI dalam UMNO disifatkan tidak pernah aman sehingga sekarang apabila ada pemimpin mempunyai kepentingan berbeza sekali gus menyebabkan perpecahan dalam parti itu. 

Itu kata bekas Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang turut menyifatkan perpecahan bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga berlaku di peringkat Pusat telah mendorong berlakunya perkara sedemikian. 

Memetik laporan BH Online, Tengku Razaleigh atau Ku Li berkata, perbezaan kepentingan dalam kalangan pemimpin UMNO telah menyebabkan tiada tumpuan diberikan sehingga tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14 lalu). 

Ku Li turut mengimbau semula kegagalan UMNO dan parti Perikatan mempertahankan beberapa kerusi di Selangor serta Kelantan ekoran perpecahan berlaku sewaktu PRU pada tahun 1959. 

“Kita tidak dapat mempertahankan kerusi-kerusi yang ditandingi oleh calon-calon Perikatan mahupun UMNO disebabkan tidak ikut kehendak sebahagian rakyat. Kita juga bercelaru dalam cara membawa kempen pada ketika itu.

“Jadi, kalau ada perpecahan, maka orang tidak boleh tumpu kepada objektif sebenar kita masuk dalam pilihan raya,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Tiada kerjasama UMNO, PAS peringkat negeri hadapi PRU-15

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, terdapat 13 parti mendukung Barisan Nasional (BN) semasa zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengambil alih teraju kepemimpinan selepas BN tewas pada PRU-14. 

“Pada PRU-14, kita bukan sahaja kalah di peringkat Pusat, tetapi juga di setiap negeri kecuali Perlis. Ada pula perpecahan dalam UMNO di negeri-negeri apabila ada perebutan, di peringkat Pusat, peringkat negeri dan sebagainya sehingga tidak aman sampai sekarang.

“Ada sahaja orang hendak mencelah dan disebabkan itulah, kita selalu merayu supaya ada solidariti dan perpaduan dalam kalangan kita. Sesiapa pun tidak boleh mencelah, kalau kita sepakat.

“Jangka hayat UMNO bergantung kepada rakyat. Kalau rakyat masih menyokongnya ia akan terus tegak, kuat, dan berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Ku Li turut menyatakan tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan perkataan solo atau bersendirian seperti dibangkitkan UMNO untuk menghadapi PRU-15. 

Menurut beliau, BN tidak pernah bergerak solo kerana terdapat parti komponen dalam gabungan tersebut. 

“Mereka membawa kekuatan masing-masing untuk membantu calon-calon yang menawar diri bertanding bagi pihak parti-parti yang berkenaan atas satu simbol, semuanya menggunakan simbol BN,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram