Keadaan bumbung dua buah warung di bandar Jertih yang rosak selepas dilanda ribut dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam.

Lebih 60 premis termasuk kediaman dan kedai makan di sekitar Jertih dan Hulu Besut, mengalami kerosakan akibat dilanda ribut dalam kejadian petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu kebanyakan premis mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, akibat diterbangkan angin kuat.

Seorang pemilik kedai Wan Yuslina Wan Yusof, 48, berkata kejadian berlaku dalam keadaan hujan lebat ketika dia sedang mengemas warungnya, selepas menutup operasi.

“Saya berada seorang diri di bahagian dapur kedai, tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu di atas bumbung dapur sebelum ia terangkat diterbangkan angin, keadaan berlaku sangat pantas.

“Saya keluar menyelamatkan diri dan kedai makan yang terletak bersebelahan turut mengalami nasib sama,” katanya yang menyewa premis Majlis Daerah Besut (MDB) di bandar ini, kepada Bernama hari ini.

Baca artikel berkaitan : 7 sekeluarga berpelukan 15 minit ketakutan selepas ribut terbangkan bumbung rumah

Sementara itu, menurut Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut Mat Daik Mohamad, lebih 50 buah rumah di beberapa kampung di kawasan Hulu Besut mengalami kerosakan dalam kejadian sama.

“Dua kampung yang paling banyak mengalami kerosakan ialah rumah di Kampung Darau dan Lepan Kejor. Kebanyakan rumah mengalami kerosakan bahagian bumbung, namun tidak ada kecederaan dilaporkan,” katanya.

Mat Daik berkata lagi, pihaknya telah turun padang meninjau kerosakkan rumah dan kedai terlibat dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan untuk membaiki kerosakan premis tersebut.

Katanya, kejadian semalam adalah kali kedua dan yang terburuk berlaku di Hulu Besut pada tahun ini, selepas kali pertama kejadian pada Julai lalu menyebabkan lebih 20 buah rumah mengalami kerosakan.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram