LAPORAN hasil siasatan ke atas buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas oleh Pasukan Petugas Khas wajar didedahkan kepada umum.
Gesaan itu disuarakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu supaya laporan tersebut tidak ‘dipendamkan’ terlalu lama.
Menurut beliau, ia dibimbangi bakal mengulangi kontroversi melibatkan kertas siasatan kes Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd Ghazali.
Ahmad Zahid berkata, laporan berkaitan siasatan buku Tommy Thomas itu perlu didedahkan kepada umum kerana rakyat perlu mengetahui perihal sebenar membabitkan bekas Peguam Negara ‘lantikan politik’ tersebut.
“Laporan oleh Pasukan Petugas Khas itu juga penting kerana ia berpotensi mendedahkan tentang isu pendakwaan terpilih yang berlaku semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Juga mendedahkan tentang kemungkinan berlaku campur tangan urusan kehakiman oleh seorang bekas Perdana Menteri untuk kepentingan politiknya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Siasatan buku Tommy Thomas selesai, 19 isu penting dikenalpasti
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut berharap dakwaan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengesyorkan laporan akhir siasatan itu tidak diedahkan kepada umum hanyalah sekadar desas-desus.
Ahmad Zahid berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Ogos tahun lalu juga telah meminta supaya kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan buku Tommy Thomas itu.
Jelas beliau, RCI itu amat penting kerana ia mengundang tanda tanya mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam negara, kehakiman dan keselamatan.
“Kita juga berharap Kabinet yang akan dibentangkan hasil siasatan tersebut dalam tempoh terdekat tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk menutup fakta tertentu.
“Kebimbangan ini timbul kerana kita memahami sebahagian anggota Kabinet kerajaan campuran sedia ada adalah bekas ahli kabinet kerajaan PH.
“Anggota Kabinet terbabit pernah 22 bulan bekerjasama dan ‘bermuafakat’ bersama Tommy, maka dikhuatiri mungkin ada perkara yang bagi mereka wajib diselindungi,” jelas beliau.
Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan laporan akhir pasukan petugas khas siasatan terhadap dakwaan dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness” tulisan Tommy akan dibentangkan kepada jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Katanya, pembentangan itu ia bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan yang perlu dilaksanakan.
Beliau berkata, pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan oleh Penasihat Undang-Undang kerajaan Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung, mengenal pasti 19 isu penting daripada buku itu yang memerlukan perhatian lanjut pihak kerajaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

