“KITA memerlukan ‘bomoh’ untuk kembali memulihkan ekonomi negara yang dilihat semakin kritikal ketika ini,” kata Prof Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah.
Bekas Ahli Dewan Negara itu berpandangan, keadaan ekonomi negara menjadi semakin ‘malang’ ketika di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Jelas beliau, hanya dengan mempunyai sebuah kerajaan yang stabil sahaja mampu memulihkan kembali ekonomi negara.
“Yang lepas itu biarlah lepas. Jika cakap pasal perkara lalu hanya menyakitkan hati, telinga dan jiwa. Sekarang kita fokus kepada masa hadapan.
“Untuk mendapat ekonomi yang baik, kita memerlukan kerajaan yang bagus dan stabil.
“Kerajaan yang stabil akan dapat menarik pelabur seterusnya membuatkan nilai Ringgit Malaysia (RM) kembali stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab dalam majlis Randau ke-14 yang bertemakan Kemakmuran Negara Tempang Dilanda Krisis Ekonomi-Kewangan.
Randau itu dianjurkan Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang berlangsung di Wisma MPM hari ini.
Turut hadir ialah bekas Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA), Dr Salihin Abang; bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Mohamad Daud Dolmoin; Ketua Eksekutif Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Sulaiman Mahbob dan Canselor University Cyberjaya, Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.
Majlis turut dihadiri Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar; Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad, wakil-wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tokoh-tokoh dari seluruh negara.
Baca lagi: Randau ke-14 akan bincang krisis ekonomi negara – MPM
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, orang Melayu ketika ini perlu bersatu padu untuk memastikan kerajaan terbaik dapat dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Jelas beliau, orang Melayu ketika ini dilhat keliru dengan politik dalam negara memandangkan begitu banyak pilihan parti ketika ini.
“Kita perlu kumpulkan 100 peratus sokongan daripada orang Melayu untuk memutuskan kerajaan yang stabil.
“Harapan saya cukup besar, perpaduan orang Melayu, kalau ada perpaduan, kita akan dapat kerajaan baik, pemimpin yang dipilih akan mengangkat sumpah untuk buat yang terbaik untuk negara,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

