KEPUTUSAN kerajaan mengarahkan siasatan lanjut terhadap kemungkinan salah laku oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung tulisan kontroversinya dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness”, adalah tepat.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, perkara itu tidak boleh diambil mudah kerana orang yang membuat tuduhan tersebut merupakan mantan Peguam Negara dan pendedahan beliau banyak mencalarkan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurutnya, sebagai mantan Peguam Negara, perlu ada etika dan ‘decorum’ yang sesuai dengan jawatan yang pernah dipegang beliau namun dalam tulisan Tommy, semuanya dihina dan dijadikan mangsa dakwaan tak berasas.
“Maka pengumuman hari ini bahawa akan ada siasatan rasmi oleh agensi penguatkuasaan amatlah wajar.
“Malah, kalau boleh dan tiada perkara sulit, kandungan laporan akhir pasukan petugas khas yang menyiasat perkara ini juga wajar didedahkan kepada umum,” tulisnya di Facebook hari ini.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat kemungkinan salah laku oleh Tommy.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan yang telah dibuat, pasukan petugas khas telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman, pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan, tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian professional dan kenyataan berbaur hasutan.
Mengulas lanjut, Shahril berkata, dalam buku itu, Tommy menuduh bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai dalang tragedi 13 Mei 1969.
“Langsung tidak bertanggungjawab dan menyentuh perkara sensitif tanpa bukti langsung. Hanya menulis seumpama cytro upahan. Bukankah ini wajar disiasat?” soal beliau dalam hantaran itu.
Tidak cukup dengan itu kata Shahril, Tommy mendedahkan perkara yang sepatutnya menjadi rahsia tetapi dibongkar dan ditelanjangkan dengan tafsiran-tafsiran peribadi tertentu.
Menurut beliau, hubungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, soal perjumpaan dalam Istana Negara, soal perbualan antara Tommy dan Dr. Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri interim, semua yang sepatutnya sulit diceritakan secara terbuka.
“Inikah standard bekas Peguam Negara? Ini wajar disiasat.” katanya lagi.
Malah kata Shahril, Tommy pada muka surat 342-343 buku itu, beliau mendedahkan bahawa, dalam satu pertemuan, pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar di Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak adalah diputuskan oleh Dr Mahathir atas cadangan beliau yang “arif dengan semua hakim Mahkamah Persekutuan”.
“Bukankah lantikan ini semua di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman? Kenapa beliau seumpama memberi gambaran bahawa wujud campur tangan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam lantikan hakim? Ini wajar disiasat,” katanya.
Selain itu tegas Shahril, Tommy turut mengulas insiden yang mengakibatkan kematian pegawai bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang mengatakan “kecederaan Adib adalah diakibatkan kenderaan bomba dan kenderaan yang dinaiki Adib. Adib dilihat cuba memasuki kenderaannya dan ketika itulah beliau dihimpit. Maka ia tidak disengajakan”.
Shahril menjelaskan, dakwaan itu dilihat sebagai sesuatu yang menyeleweng dan terpesong daripada fakta sebenar yang telah diputuskan oleh Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019 bahawa Allahyarham Muhammad Adib dipukul sehingga mati.
“Apapun, seperti biasa, kita serahkan kepada pihak berkuasa yang melaksanakan tugas mereka lantas membuat keputusan seterusnya,” tambahnya.