Ismail Sabri Yaakob selamat tiba di tanah air malam tadi selepas menamatkan lawatan kerja ke New York dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selamat tiba di tanah air malam tadi selepas menamatkan lawatan kerja ke New York dan Abu Dhabi dengan disambut ratusan rakyat dan pemimpin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Apa yang menarik mengenai lawatan Perdana Menteri ke luar negara kali ini adalah kerana beliau mencipta sejarah menjadi pemimpin Malaysia pertama yang menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Walaupun Ismail Sabri diketahui fasih berbahasa Inggeris, tetapi keputusannnya untuk menggunakan bahasa Melayu di perhimpunan diplomatik terbesar tersebut seharusnya membuka mata rakyat dan pemimpin di negara ini.

Tindakan Perdana Menteri tersebut seharusnya dikagumi kerana berani mengangkat bahasa kebangsaan kita di pentas berprestij PBB dan didengari pula oleh 150 pemimpin dunia yang hadir.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan sebelum ini, keputusan berbahasa Melayu itu adalah inisiatif Perdana Menteri untuk memartabatkan bahasa kebangsaan di persada antarabangsa, terutama di platform PBB. 

“Usaha ini jelas melakar sejarah penting buat negara,” kata Wisma Putra.

Bukan setakat menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu sepenuhnya, Ismail Sabri juga tampil segak berbaju Melayu hitam dengan disertai seluruh delegasi negara termasuk Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang turut memakai baju kebangsaan dan batik Malaysia.

ANTARA yang menyambut kepulangan Ismail Sabri Yaakob malam tadi.

Jadi tidak hairanlah ketika kembali ke tanah air malam tadi, Perdana Menteri disambut ratusan yang hadir di KLIA sebagai wira bahasa Melayu kerana pencapaian bersejarahnya di UNGA.

Di antara pemimpin yang hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique.

Turut sama ialah Tokoh Bahasa merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan; Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Salleh Rahamat dan Gabungan Penulis-Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan.

Mereka membawa kain rentang dan plakad yang antaranya tertulis “Ismail Sabri Wira Negara Angkat Bahasa Negara di Pentas Dunia”.

Sementara itu, Awang Sariyan mengucapkan tahniah dan penghargaaan kepada Perdana Menteri kerana mengotakan kata mengangkat Bahasa Melayu ke peringkat tertinggi.

“Ertinya beliau mengatakan Bahasa Melayu patut diangkat ke peringkat antarabangsa dan telah membuktikannya.

“Bukan sahaja sdi peringkat ASEAN bahkan peringkat Pertubuhan Bangsa Bersatu. Satu pertemuan terbesar, pertemuan paling mulia di peringkat dunia.

“Dan ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu mengulang sejarahnya,” katanya.

BERITA BERKAITAN Bahasa Melayu di pentas antarabangsa, PM ucap syabas kepada U-Wei

Ketika berucap di UNGA, Perdana Menteri turut menyentuh pelbagai isu antarabangsa antaranya konflik di Ukraine, isu Myanmar dan Palestin serta sekuriti makanan dan perubahan iklim.

Beliau turut mencadangkan mewujudkan mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa di tengah-tengah peningkatan inflasi global.

Ini adalah kali kedua Ismail Sabri berucap di UNGA. Beliau membacakan Kenyataan Negara secara maya pada sesi ke-76 tahun lepas, berikutan pandemik COVID-19.

Di luar UNGA, Ismail Sabri telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Perdana Menteri Belanda Mark Rutte dan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Beliau juga menganjurkan majlis makan malam “Keluarga Malaysia” untuk diaspora Malaysia di Amerika Syarikat.

Semasa lawatan ke Emeriah Arab Bersatu (UAE) selama empat hari, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Ismail Sabri mengambil peluang mempelawa UAE untuk menyertai projek pembangunan Bandar Malaysia di Kuala Lumpur, serta pelaburan berbalik untuk menyokong Dasar Sekuriti Makanan kedua-dua negara dan membantu UAE menjadi hab makanan di Timur Tengah kerana Malaysia mempunyai tanah yang luas dan sesuai untuk pelabur asing melabur dalam bidang pertanian.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram