Kita Akan Terus Tempang Sekiranya…

Dari Penulis

Oleh JOHAN JAAFFAR

Secara teorinya tidak sepatutnya ada orang Melayu yang miskin lagi di Malaysia. Atau yang berada pada tahap 40 peratus terbawah daripada pendapatan isi rumah (B40).

Tidak mungkin juga sasaran 30 peratus penguasaan Bumiputera tidak tercapai seperti yang disasarkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tidak sepatutnya orang Melayu masih menganggap diri mereka melukut di tepi gantang dalam konteks penguasaan ekonomi di tanah tempat tumpah darah sendiri.


Saya menghadiri Randau ke-14 anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang berjudul “Kemakmuran Negara Tempang Dilanda Krisis Ekonomi-Kewangan” Jumaat minggu lepas.
Empat orang panel mengemukakan pandangan mereka tentang isu itu, yakni Profesorr Emeritus Tan Sri Anuwar Ali, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Mohamad Daud Dolmoin dan Dr Salihin Abang serta dikendalikan oleh Datuk Seri Mohamed Rosman Mohamed.


Saya tentunya menghargai semua pandangan cerdik mereka. Bagaimanapun saya mengesan sesuatu yang sebenarnya menjadi punca utama soal “ketempangan” dalam konteks orang Melayu yang tidak dibincangkan secara tuntas.


Hal itu adalah yang disebutkan oleh Baginda Tuanku Sultan Nazrin sewaktu melancarkan buku Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika tulisan Tan Sri Profesor Mohd Kamal Hassan bulan lalu sebagai “gajah rasuah di depan mata.”


Titah Baginda rasuah menjadi antara punca rakyat tidak mendapat perkhidmatan terbaik, berlaku pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara. Rasuah juga mengakibatkan pembangunan tidak lestari, berlaku pencemaran alam sekitar, terbantutnya pertumbuhan ekonomi, hilangnya minat pelabur asing, meningkatnya kos pentadbiran dan urusniaga serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.
Baginda bertitah lagi akibat rasuah “kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak.”


Itulah punca paling utama kenapa “ketempangan” berlaku dalam ekonomi dalam konteks orang Melayu. Sejak DEB dilancarkan selepas Peristiwa 13 Mei 1969, entah berapa banyak kementerian, jabatan, agensi, institusi pelaburan, tabung amanah, skim pinjaman dan bantuan langsung kewangan yang diperuntukkan kepada orang Melayu.


Pada dasarnya kita mahu melahirkan satu generasi usahawan Melayu dan Bumiputera dan berjaya, yang mampu bersaing dengan orang lain, punya daya tahan dan berintegriti. Kita juga mahu memastikan kejututeraan semula masyarakat berjalan dengan baik. Sasarannya adalah untuk mengeluarkan orang Melayu daripada rantaian kemiskinan dan kemunduran.


Mungkin kita berjaya melahirkan kelompok kelas menengah Melayu akibat dasar pendidikan kita. Tetapi menarik keluar sebahagian besar orang Melayu dari lubuk kemiskinan, kita masih belum berjaya. Untuk melahirkan usahawan yang berdaya tahan pada peringkat kecil dan sederhana, kita masih gagal.


Siapakah yang patut kita persalahkan dengan kegagalan ini? Sejak Merdeka, kerajaan pimpinan Melayu mentadbir negara. Perdana Menterinya semua Melayu, semua menteri dan pegawai tertinggi kerajaan yang diberikan amanah melaksanakan dasar membantu orang Melayu adalah orang Melayu.


Berapa bilionkah wang yang telah dicurahkan dalam semua usaha ini? Apakah kita masih mencari salah orang lain akibat kelemahan kita? Orang Cina tidak ada ada program komprehensif untuk membina generasi usahawan mereka pada semua peringkat, khususnya peringkat kecil dan sederhana. Tetapi mereka berjaya dalam semua sektor, termasuk peruncitan, perkhidmatan, pembaikan, jualan dan lain-lain.


Kita masih merintih mengatakan bahawa “orang lain “ menguasai ekonomi kita. Soalannya, tidak cukup lagikah dasar dan bantuan selama ini untuk membantu orang Melayu?


Puncanya, ada disebutkan oleh Prof Anuwar Ali pada hujung pembentangannya – soal ketirisan. Malah itulah punca utama ketempangan kita selama ini. Orang yang diberikan amanah tidak amanah. Orang yang diberikan tanggungjawan tidak bertanggungjawab.


Memang ”agenda Bumiputera”ada kalanya indah khabar dari rupa seperti yang disebutkan oleh Tun Hamid Omar selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MPM sewaktu menyampaikan ucapannya. Dan memang ada kalanya ia kelihatan bagaikan melepaskan batuk di tangga. Tetapi hakikatnya bukan agenda amanah Bumiputera “semakin malas” tetapi mungkin semakin tidak amanah.


Maka itu kita harus mula mencari salah diri kita sendiri. Kita harus mengenalpasti siapa di antara mereka yang diberi amanah tetapi gagal menjalankan amanah. Kita juga harus mencari punca kegagalan sistem yang memungkinkan korupsi sampai pada peringkat yang lebih menakutkan daripada pandemik Covid-19 yang melanda kita. Kita harus meletakkan orang yang betul di tempat yang betul. Dan menghukum mereka yang korup, tidak amanah dan menyalahguna kuasa.


Kita harus menyedari bahawa pada masa ini jurang perbezaan ekonomi lebih ketara di antara sesama Melayu berbanding orang Melayu dengan kaum Cina. Kita juga harus sedar kurang dari 10 peratus orang Melayu menguasai 85 peratus kekayaan yang diktakan menjadi “milik” orang Melayu di negara ini.


Sudah sampai masanya kita melihat diri kita di dalam cermin dan mula menanyakan tentang kejujuran dan integriti kita sendiri. Bukan tidak ada pimpinan politik, ketua agensi dan organisasi amanah yang punya tahap profesionalisma yang tinggi dan berintegriti. Kita perlu perbanyakkan jumlah mereka yang jujur ini. Lagipun rasuah tidak patut menjadi sebahagian daripada DNA bangsa kita.


Kita harus menjadi sebahagian daripada gerakan massa seperti #RasuahBusters untuk menggerakkan jihad sebenar memerangi rasuah.


Sudah 52 tahun DEB dilaksanakan. Kita sudah mengkaji kejayaannya 30 tahun kemudian. Ternyata kita tidak mencapai sasaran. 52 tahun lagi mungkin kita akan bercakap tentang hal yang sama. Selagi kita tidak menangani soal “gajah rasuah di depan mata” sampai bilapun kita akan mendengar rintihan dan kekecewaan di kalangan orang Melayu.


Kita tidak akan ditewaskan oleh sebarang krisis ekonomi dan kewangan sekiranya kita kuat daripada segi ekonomi. Krisis yang melanda ekoran Perang Ukraine dan kejatuhan nilai sterling bersifat putaran dan mudah ditangani. Lagipun belum menuju ke arah Sri Lanka yang jatuh muflis.


Bagi saya ini krisis moral pimpinan Melayu. Krisis yang membebankan bangsa Melayu. Dan merosakkan agenda Melayu sendiri. Benarlah kata Profesor Mohd Kamal Hassan, perlunya disegerakan transformasi moral etika bagi memerangi soal korupsi dan kemunafikan dalam politik Melayu Islam.


Selagi kita menganggap perasuah adalah wira bangsa dan selagi kita mahukan kestabilan politik untuk mewajarkan salahguna kuasa dan korupsi, selagi itulah kita akan terus “tempang”.


• Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau pernah menjadi Pengerusi Panel Perunding dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Anggota MALBATT 850-13 bertugas di Selatan Lubnan selamat – ATM

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa seluruh anggota MALBATT 850-13 yang sedang bertugas di Selatan Lubnan berada dalam keadaan...

More Articles Like This