SEBANYAK 626 sekolah dua sesi akan dibekalkan dengan lokar bagi fasa pertama dengan kerja pemasangan dijangka siap sepenuhnya akhir bulan ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, kemudahan itu bakal memanfaatkan 249,646 murid sekolah rendah sebagai antara tujuh inisiatif KPM bagi menangani isu beg berat.
Jelas beliau, bagi fasa pertama, lokar berkenaan akan dibekalkan kepada murid tahap satu iaitu Tahun Satu dan Tahun Dua dengan fasa kedua dijadualkan tahun depan.
“Inisiatif untuk kurangkan masalah beg berat (dalam kalangan murid) sudah diumumkan pada 6 Mac 2022 dan Alhamdulillah hari ini, ia berjaya dilancarkan. Ia antara inisiatif paling besar dan tak pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Program ini membabitkan kos RM37.3 juta untuk fasa pertama membabitkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua dengan fasa kedua akan diteruskan pada 2023 membabitkan murid Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam,” katanya.

Baca lagi: Aset Kementerian Pendidikan sedia diguna untuk banjir atau PRU – Radzi
Mengulas lanjut mengenai kerja pemasangan yang sedang giat dijalankan, Radzi berkata, bagi sekolah di daerah Gombak, misalnya, 38 sekolah telah menerima lokar berkenaan.
Diminta mengulas mengenai pemantauan dijalankan KPM bagi memastikan kemudahan lokar berkenaan bakal dimanfaatkan sebaiknya, Radzi berkata, Jemaah Nazir akan sentiasa turun padang bagi tujuan melihat sendiri pematuhan di semua sekolah terbabit.
“Kita minta Jemaah Nazir turun ke bawah bagi memantau bagi aspek pematuhan kepada tujuan inisiatif ini.
“Selain pemantauan, kita juga perlukan kerjasama baik (dari semua pihak) termasuk murid, ibu bapa dan guru supaya budaya ini dapat dibina dan masing-masing memahaminya sekali gus beg dibawa murid tidak seberat seperti sebelumnya,” katanya.
Pada masa sama, Radzi berkata, kemudahan lokar berkenaan diharap dapat disambut antaranya melalui penerapan pengajaran dan pembelajaran yang sedikit berbeza.
Jelasnya, sebagai contoh, sekiranya proses pengajaran berasaskan tema diaplikasikan, ini sedikit sebanyak mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan buku teks.
“Buku teks boleh diletakkan di lokar dan digunakan pada bila-bila masa (diperlukan).
“Apa yang penting dan perlu ditekankan, jangan bawa balik sama seperti sebelum ini, kerana kemudahan sudah ada,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

