SEKURANG-kurangnya 25 kubur umat Islam di sebuah tapak perkuburan umum (TPU) di Kota Bandung Indonesia diancam tanah runtuh sehingga menampakkan kain kafan jenazah.
Lapor Kompas.com, Ketua Jabatan Cipta Karya, Bina Konstruksi dan Tata Ruang Kota Bandung, Bambang Suhari mengesahkan kejadian di TPU Sirnaraga, Jalan Citepus, Kota Bandung itu.
“Betul di wilayah TPU Sirnaraga RT 04 RW 07, Kecamatan Cicendo, Bandung,” kata Bambang kepada Kompas.com, hari ini.
Menurutnya, tanah runtuh di kawasan perkuburan tersebut diakibatkan hujan lebat yang berlaku sebelum itu.
Namun katanya, tiada jenazah daripada kubur terjejas menggelongsor keluar.
Katanya, 10 daripada 25 kubur terjejas rosak akibat runtuhan tembok penahan TPU di mukim Cicendo berkenaan.
“Dari 10 kubur yang rosak itu, ada tujuh yang kita rancang akan dipindahkan iaitu lima makam kanak-kanak dan dua kubur dewasa.
“Pemindahan kubur sudah diselaraskan dan telah mendapat persetujuan dari waris,” katanya.
Beliau menambah, masih ada tiga kubur rosak yang perlu diperbaiki, namun tidak perlu dipindahkan.
Sementara itu, foto kejadian di TPU Sirnaraga, tersebut mula tular di media sosial sejak semalam.
Pemilik akaun Twitter bernama @txtdaribandung dalam ciapannya berkata:”Runtuh akibat hujan lebat di TPU Sirnaraga, Jalan Citepus, Kota Bandung. Ada beberapa kain kafan yang terlihat”.
Setakat hari ini, ciapan tersebut diulang kicau sebanyak 9,558 kali dan disukai lebih 46,200 pengguna Twitter lain.

