USAI pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin nyata berpuas hati dengan peruntukan untuk sektor pendidikan.
Dalam perkongsian menerusi Facebook, Radzi menyambut baik inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang diperjuangkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) selama ini.
Jelas beliau, kenaikan kadar RMT akan memberi manfaat kepada 813,393 murid di seluruh negara yang pastinya gembira dengan inisiatif kerajaan.
Selain itu, Radzi turut gembira dengan penambahbaikan yang dibuat kepada Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan peningkatan daripada RM100 kepada RM150.
“Untuk tahun 2022, penambahbaikan dibuat kepada Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan peningkatan daripada RM100 kepada RM150.
“Dalam Belanjawan 2023, penambahbaikan terus dibuat kepada BAP. Sebelum ini, ibubapa yang berpendapatan RM3000 ke bawah sahaja yang layak menerima BAP untuk anak yang bersekolah.
“Bagi tahun 2023, semua murid akan menerima BAP tanpa mengira pendapatan ibu bapa mereka,” katanya.
Baca lagi: Belanjawan 2023: KPT terima peruntukan RM15.1 bilion
Mengulas lanjut, Radzi berkata, bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 5 juta murid dan melibatkan peruntukan RM825 juta berbanding RM450 juta pada tahun 2022.
Selain itu, beliau turut gembira dengan peruntukan RM1.1 bilion untuk menyelenggara dan membaik pulih sekolah-sekolah bawah KPM.

Katanya, peruntukan itu meningkat RM250 juta berbanding RM850 juta dalam Belanjawan 2022.
“Dengan ini, KPM akan dapat menyediakan persekitaran sekolah yang kondusif untuk seluruh warga sekolah.
“Sewaktu mula menjejak kaki di KPM, saya bertekad agar isu bangunan daif di sekolah seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, dapat ditangani dengan cekap dan menyeluruh.

“Tadi diumumkan, bagi tahun 2023, peruntukan untuk bangunan daif di sekolah ditingkatkan sebanyak RM454 juta kepada RM1.2 bilion berbanding RM746 juta tahun 2022.
“Kita akan terus ikhtiarkan yang terbaik,” katanya.
Selain itu, Radzi turut gembira dengan pengumuman sebuah sekolah baharu akan dibina di Cyberjaya.
Katanya, inisiatif untuk membina sekolah baharu di Cyberjaya itu sememangnya dinantikan memandangkan Sekolah Kebangsaan Cyberjaya padat dengan murid ketika ini.
“Pada Mac 2021, saya melawat ke SK Cyberjaya untuk meninjau pengoperasian sekolah sewaktu pandemik COVID-19.
“Sekolah ini mempunyai jumlah murid seramai 2,418 murid dan merupakan sebuah sekolah yang padat.
“Hari ini diumumkan bahawa sebuah sekolah rendah baharu akan dibina di Cyberjaya. Tahniah kepada penduduk Cyberjaya!,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

