EMPAT lelaki warga Bangladesh ditahan selepas dipercayai membunuh dan meninggalkan mayat rakan senegara di Jalan Taming Jaya 10, Kawasan Industrial Park pada September lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dua suspek ditahan di kawasan Beranang pada pukul 4 hingga 4.10 petang kelmarin.

Katanya, dua lagi suspek ditahan di Semenyih pada pukul 3.30 hingga 4.10 petang.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa saudara mangsa pada Jumaat lalu memaklumkan mangsa berusia 39 tahun telah keluar rumah pada 25 September dan tidak dapat dihubungi.

“Ibu mangsa yang berada di Bangladesh telah menerima panggilan pada 26 September menyatakan mangsa telah ditahan suspek dan meminta bayaran sebanyak RM24,000 bagi melepaskan mangsa ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan : Bunuh kanak-kanak: Jurujual durjana, pembantu rumah direman

Jelasnya, ibu mangsa telah membayar sejumlah wang kepada suspek melalui akaun bank dan suspek menjanjikan mangsa akan dilepaskan dalam masa dua hari.

“Ibu mangsa tidak menerima sebarang berita mengenai mangsa dan mengarahkan pengadu membuat laporan polis mengenai kejadian,” ujarnya.

Mohd Zaid berkata, hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan semak samun dekat Seri Kembangan.

“Pemeriksaan mendapati mayat dalam keadaan separuh reput di mana tangan dan muka diikat dengan pita pelekat serta kain sarung”.

Katanya, mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat dan punca pembunuhan dipercayai kerana mangsa mengenali suspek.

Sehubungan itu, kes kini disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sebarang maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan S. Vekram di talian 019-4737108 bagi membantu siasatan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram