DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen sah dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengumuman itu sekali gus menjawab spekulasi sejak minggu lalu bahawa Parlimen akan dibubarkan.
Dalam perutusan khas sebentar tadi, Perdana Menteri memaklumkan perkara itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam ucapannya selama kira-kira 17 minit itu, Perdana Menteri berkata, beliau sudah menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, tengah hari semalam bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.
Beliau memaklumkan, telah menyembah warkah permintaan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai pembubaran Parlimen.
Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri memberitahu, Yang di-Pertuan Agong telah bertindak dengan budi bicara Seri Paduka untuk memperkenankan permintaannya supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022.
Susulan itu, Perdana Menteri mengesyorkan semua Ketua Menteri dan Menteri Besar, kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor menghadap Sultan, Raja atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Langkah itu, kata beliau, bagi memberi laluan supaya pilihan raya negeri (PRN) dan PRU dapat diadakan serentak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meskipun beberapa negeri telah memutuskan tidak membubarkan DUN masing-masing.
“Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.
“Sementara itu, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan adalah tertakluk kepada keputusan SPR,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Perutusan khas PM 3 petang ini, Parlimen bakal bubar?
Sebagai rekod, beberapa negeri iaitu Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor telah pun selesai mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing.
Tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pula dilaporkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing tidak akan dibubarkan sehingga tahun hadapan.
Perkara sama dibuat negeri di bawah pentadbiran Pas iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Susulan pembubaran Parlimen pada hari ini, SPR perlu menetapkan tarikh pilihan raya diadakan.
Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, daripada tarikh pembubaran Parlimen.
Ketika ini, Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

