PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyampaikan perutusan khas pada pukul 3 petang hari ini.
Menurut satu kenyataan ringkas di Twitternya, Perutusan Khas Perdana Menteri itu akan disiarkan secara langsung di stesen televisyen utama negara.
Difahamkan, perutusan tersebut kemungkinan berkaitan dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Kini, seluruh tumpuan kepada perutusan khas Ismail Sabri petang ini berhubung kedudukan politik semasa negara.
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilapor memberi petunjuk akan ada pengumuman penting dibuat kerajaan hari ini, berkemungkinan berkaitan pembubaran Parlimen.
Bercakap pada sidang media, beliau juga mengesahkan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sudah pun mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.
Namun begitu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dilaporkan mengesahkan tidak menerima apa-apa pemakluman mengenai pembubaran Parlimen.
Sehubungan itu, beliau berkata, sesi Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas akan berlangsung seperti dijadualkan esok termasuk membahaskan Bajet 2023.
Semalam, Perdana Menteri dilaporkan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi di Istana Negara.
Memetik laporan New Straits Times (NST), kunjungan Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak dapat dihidu media yang biasanya berkumpul di pintu utama Istana Negara.
Ini kerana kebanyakan media berada di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) untuk membuat liputan sambutan Maulidur Rasul.
Menurut NST, pertemuan itu dipercayai bagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Parlimen.
Baca artikel berkaitan: PM menghadap Agong sekali lagi, bubar Parlimen masa terdekat?
Khamis lalu, Perdana Menteri hanya mengambil masa kira-kira 45 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Perdana Menteri yang menaiki kenderaan Toyota Alphard berwarna putih dilihat keluar dari pintu utama Istana Negara kira-kira pukul 4.45 petang.
Beliau sempat menurunkan tingkap kereta dan melambai kepada petugas media di luar perkarangan Istana Negara.
Sesi menghadap itu mendapat perhatian meluas berikutan spekulasi bahawa Perdana Menteri akan memohon pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka berkenan menerima menghadap Perdana Menteri untuk mesyuarat pra-Kabinet.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

