PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaafkan mana-mana pemimpin atau ahli yang pernah mengkritik beliau suatu masa dahulu ketika terpalit dengan pertuduhan di mahkamah.
Beliau berasa bersyukur kerana diuji sedemikian rupa selain menyatakan rasa pelik mengapa tindakan seperti itu perlu wujud di antara sesama parti.
Jelasnya, sepatutnya tindakan hentam-menghentam ini dilakukan kepada pembangkang kerana mereka adalah pesaing utama yang cuba mengalahkan parti.
“Saya menerima ujian 87 pertuduhan, yang dari dalam yang serang presiden itu pun ramai. Yang di bawah tiadalah, yang di atas ramai, bukan atas ini di tempat lain di Papua New Guinea.
“Buat apa nak serang sesama sendiri, kita serang musuh barulah BN kuat semula untuk jadi pemerintah, betul, cukup-cukup saya maafkan.
“Apa maknanya kalau kita seperti ketam dalam bakul, semua ketam mahu keluar tetapi pijak sesama sendiri, akhirnya tiada seekor ketam yang keluar daripada bakul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera Barisan Nasioanal PRU-15 Negeri Terengganu, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu pilihan raya kali ini menjadi medan kepada rakyat menolak ‘katak-katak’ yang telah merosakkan amalan demokrasi di negara ini.
Dalam masa sama, beliau mengajak ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) menguburkan pemimpin yang disifatkan sebagai pengkhianat parti buat selama-lamanya.
“Pilihan raya kali ini adalah wadah untuk menolak katak-katak yang telah merosakkan sistem demokrasi di negara ini.
“Siapa yang menghalalkan lompatan ini, kerajaan PH, siapakah mendapat faedah daripada pelompatan lari berganti-ganti ini PN,” katanya.
Katanya lagi, rakyat secara dasarnya rindukan pemerintahan kerajaan BN yang pernah dipamerkan suatu masa dahulu.
Tegas beliau, sudah menjadi tanggungjawab ahli UMNO dan BN merealisasikan hasrat tersebut dengan bekerja kuat dalam pilihan raya kali ini.
“Perasaan pengundi-pengundi dan rakyat keseluruhannya mahu Barisan Nasional kembali cukup jelas, orang Cina, Iban, Kadazan mereka mahu BN kembali,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

