Segala inisiatif bantu rakyat akan diteruskan jika kerajaan diberi mandat pada PRU-15, kata Ismail Sabri

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

KERAJAAN akan meneruskan segala inisatif yang terkandung dalam Belanjawan 2023 sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian mandat itu diperlukan agar bajet tersebut dapat dibentangkan sekali lagi di Dewan Rakyat, dibahaskan dan diluluskan.

Beliau turut berkata, jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia juga akan diteruskan sekiranya keputusan PRU-15 memihak kepada kerajaan.

Jelas beliau, program tersebut dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada PRU-15 yang akan berlangsung 19 November ini.

“Ini mungkin destinasi terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, insya-Allah jika diberi peluang teraju kerajaan ini sekali lagi, program ini yang terhenti sebentar ini akan disambung semula selepas PRU15,” katanya semasa berucap pada Jelajah AKM Pahang yang diterajui Kementerian Pertahanan, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Jelajah AKM bermula pada 3 Mac lepas di Johor diikuti Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka.

Baca lagi: Pembentangan Belanjawan 2023 hanya sia-sia – Azmin

Mengulas mengenai situasi semasa negara, Ismail Sabri berkata, prestasi ekonomi Malaysia adalah yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua berbanding 5.0 peratus pada suku pertama tahun 2022.

Jelas beliau, kerajaan juga berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh yang mana kadar pengangguran pada Ogos 2022 iaitu 3.7 peratus jauh lebih rendah berbanding Ogos 2021 iaitu 4.6 peratus.

“Alhamdulillah, Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 yang mengukur kedamaian global di dunia.

“Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pula telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM5.3 bilion ke negeri ini yang akan mewujudkan lebih 3,300 peluang pekerjaan baharu dalam kalangan Keluarga Malaysia Pahang tahun ini.

“Kadar inflasi negara juga mencatatkan penurunan kepada 4.5 peratus pada September 2022 berbanding 4.7 peratus pada Ogos 2022,” katanya.

Ismail Sabri menambah, Bajet 2023 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara kerana memperuntukkan sebanyak RM372.3 bilion untuk memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

Katanya, bajet itu bukan sekadar manifesto kerana negara mempunyai kewangan yang mencukupi untuk melaksanakannya.

Jelas Ahli Parlimen Bera itu, ia mencakupi keperluan semua lapisan masyarakat bagi memastikan tiada Keluarga Malaysia yang tercicir, sama ada di ceruk desa atau di bandar, B40, M40, pelajar, OKU, wanita, usahawan dan sebagainya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak RM1.8 billion disediakan bagi menghadapi monsun timur laut.

Katanya, ia di bawah projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai termasuk di Kampung Tanjung Batu, Pekan dan Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting Mukim Pelangai di Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Bera.

“Terdapat projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di kawasan bercerun Cameron Highlands yang melibatkan kos RM6.07 juta bagi mengurangkan masalah serta meningkatkan kelancaran sistem saliran.

“Sejumlah RM1.215 bilion akan dibelanjakan untuk pembinaan dua loji rawatan air baharu, lima projek penambaikan loji rawatan air dan muka sauk, tujuh projek pembinaan tangki air untuk sistem agihan dan satu Program Non Revenue Water (NRW) bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Pahang,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

6 termasuk bayi maut dalam kemalangan dengan lori muatan tanah di Sungai Petani

ENAM maut termasuk seorang bayi selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan...

More Articles Like This