PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menaikkan nilai Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) menepati apa yang diperlukan oleh pekebun-pekebun kecil khususnya penoreh getah pada masa ini.
Hal ini kerana, situasi cuaca semakin sukar diramal sekarang menyebabkan pekebun kecil yang bergantung harap pada komoditi terputus punca mata pencarian.
Setiausaha Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Kedah, Ainol Salleh Shafie berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana begitu prihatian dengan nasib golongan tersebut.
Katanya, bantuan RM600 selama dua bulan pada tahun ini dan RM800 dijanjikan tahun hadapan nyata satu berita yang melegakan.
“Bagi saya bersyukurlah, makna dapat meringan sedikitlah beban pekebun-pekebun kecil ini tambah masa ini musim tengkujuh, hujan hari-hari.
“Saya tinjau seluruh negeri Kedah ini memang mereka tak boleh menoreh, bila dapat imbuhan ini alhamdulillah dapat mengurangkan sedikit beban kepada pekebun kecil.
“Sekarang ini musim tak menentu, tak macam lima tahun yang lepas, kita dah tahu dah musim tak hujan bulan bila, sekarang ini sama sahaja, dapat menoreh getah pun kadang-kadang dua hari, tiga hari,” katanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.
Baca artikel lain: Meningkat lebih 18 peratus, RM600 juta diperuntuk kepada pekebun kecil tahun depan
Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan, kesemua pekebun kecil bakal menerima bantuan sebanyak RM600 yang disalurkan secara berperingkat iaitu RM300 pada bulan hadapan dan RM300 pada bulan Disember ini.
Seramai 232,319 pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan menerima BMT tahun ini, melibatkan peruntukan RM191 juta.
BMT akan ditambah sebanyak RM200 kepada RM800 tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM256 juta selama empat bulan kepada pekebun kecil Risda dan Felda seramai 320,000 orang.
Mengulas mengenai kenaikan kadar BMT pada tahun hadapan, Ainol Salleh merasakan tiada berita lain yang menggembirakan golongan pekebun kecil selain daripada ini.
Bagaimanapun, beliau berharap, mungkin pihak berkuasa boleh menambah baik peruntukan ini pada masa ke masa demi meningkatkan kualiti hidup golongan ini.
“Kalau boleh tambah baik lagi, kami minta bantuan sama seperti nelayan, kita pun tahu ekonomi teruk dapat bantuan macam ini pun alhamdulillah.
“Bagilah bantuan peralatan ke, yang mungkin pekebun-pekebun kecil ada kemahiran, tengok kemahiran dia dan bantu,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

