Calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mendengar permasalahan yang dihadapi pengusaha nurseri ketika mengadakan perjumpaan bersama warga nurseri di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

‘HAKIKATNYA, saya tiada lagi pilihan sebab pucuk pimpinan parti pun tak beri isyarat kepada saya untuk pergi ke mana-mana kawasan.”

Itu kata calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mengulas komen Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Khairy yang memilih kawasan tersebut untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, ini kerana pucuk pimpinan BN tidak memberi apa-apa isyarat tentang kawasan yang akan diberikan kepada Menteri Kesihatan itu.

Pada waktu itu, Khairy mendakwa ‘ditinggalkan’ begitu sahaja walaupun telah mengetahui kena ‘keluar’ daripada kerusi Parlimen Rembau yang disandangnya selama tiga penggal.

Bagaimanapun, Khairy tidak mahu memanjangkan polemik tersebut dan mahu memberi tumpuan untuk memenangkan BN di kerusi berkenaan.

“Bila dah tak banyak kerusi tersedia, hanya dua tiga (kerusi) sahaja, saya kata OK saya pilih Sungai Buloh.

“Tapi nak kata saya daripada awal pilih, tidak. Saya tunggu isyarat daripada pucuk pimpinan, nothing (tiada apa-apa),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke kilang SME Aerospace Sdn. Bhd., hari ini.

Baca artikel berkaitan: KJ yang minta Parlimen Sungai Buloh, tiada siapa paksa – Ahmad Zahid

Mengulas lanjut, Khairy berkata, beliau mengambil inisiatif sendiri bertemu dengan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran untuk bertanding di Sungai Buloh.

“Dalam keadaan tarikh penamaan calon dah menghampiri, saya ambil inisiatif bincang dengan Noh dan jumpa Presiden MIC (Vigneswaran) kerana kerusi ini dahulunya milik MIC.

“Saya yang kena usahakan untuk dapatkan sebab tak ada kerusi lagi.

“Namun, saya datang ke sini mewakili BN dan Insya-Allah saya akan cuba untuk menang,” jelas beliau.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, Khairy yang meminta untuk diberikan peluang bertanding di Sungai Buloh dengan tiada mana-mana pihak memaksa atau mendesak bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram