PERTUBUHAN Jalinan Perpaduan Negara menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat harta lebih RM18 juta yang diisytiharkan dimiliki calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Presidennya, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz, berkata, SPRM perlu menyiasat dana yang masuk ke dalam Invoke Solutions Sdn Bhd kerana syarikat itu hanya dua kali untung dan mengalami kali kerugian sejak ditubuhkan pada 2016.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana Timbalan Presiden PKR itu memperoleh RM16 juta melalui pegangan saham dalam syarikat yang diasaskannya sendiri.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan penyertaan Rafizi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya didapati beliau terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram Invoke.

“Sekiranya benar Rafizi terbabit dengan pengubahan wang haram, beliau tidak layak bertanding dan SPR perlu membatalkan penyertaannya dalam PRU15 kerana kerajaan akan berhadapan kerugian untuk mengadakan pilihan raya semula,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Syed Mohammad Imran berkata demikian kepada pemberita ketika hadir membuat laporan berhubung salah laku Rafizi ke pejabat SPRM, di Putrajaya hari ini.

Pada 2 November lalu media melaporkan Rafizi menjadi individu pertama mengisytiharkan harta dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada PRU15 untuk berbuat demikian.

Kebanyakan asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam Invoke, syarikat tinjauan awam yang diasaskannya termasuk pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan polisi insurans.

BERITA BERKAITAN Ikmal Hisham akan ambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi

Sebelum ini Rafizi yang juga calon Parlimen Pandan memuat naik di platform TikTok untuk memperincikan bagaimana syarikat pemula atau startup yang diasaskannya, Invoke berjaya mencatatkan keuntungan sejak 2020.

Rafizi, dilaporkan berkata keuntungan Invoke mengikut tahun bagi tahun kewangan 2020 ialah RM507,000, manakala tahun kewangan 2021 (RM653,000) dan jangkaan keuntungan tahun kewangan 2022 (RM1.5 juta).

Mohammad Imran berkata, pihaknya membuat laporan kepada SPRM berdasarkan beberapa sumber individu yang dibuat melalui media sosial TikTok dan Twitter.

Katanya, beliau berharap SPR melihat perkara ini dari sudut undang-undang termasuk menggugurkan Rafizi daripada bertanding sekiranya terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Sekiranya pengaliran wang itu dari sumber yang sah itu tiada masalah,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram