PKR optimis dapat membuat kejutan dengan memenangi sekurang-kurangnya empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang selain mengekalkan keputusan pilihan raya lepas di dua kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang Datuk Seri Amirudin Shari berkata dua kerusi DUN yang dapat dipertahan ialah Semambu dan Teruntum manakala kerusi Parlimen ialah Kuantan dan Indera Mahkota.

“Kawasan DUN lain yang berpotensi untuk dimenangi antaranya Benta, Inderapura, Bukit Ibam, Sungai Lembing dan Cheka. Peluang kita adalah lebih baik jika lebih ramai pulang mengundi khususnya mereka dari ibu kota dan Selangor.

“Ini kerana di situ adalah penempatan anak muda dan mereka boleh mempengaruhi ibu bapa jika pulang ke kampung,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Ceramah Harapan Pengerusi MPN Pahang di sini hari ini.

PKR menang kerusi Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum 2018 menerusi calonnya Datuk Seri Saifuddin Abdullah namun beliau menyertai Bersatu dua tahun kemudian.

Baca artikel lain: PM paling singkat tapi sumbangan Ismail Sabri jauh lebih banyak berbanding PH – Penganalisis

Mengulas lanjut, Amirudin berkata sasaran yang ditetapkan PKR tidak mustahil untuk dicapai, mengambil kira mereka pernah membuat kejutan apabila menang di DUN Chini pada Pilihan Raya Umum 1999 walaupun dengan hanya majoriti lima undi.

Mengulas peluang PKR di DUN Cheka yang menyaksikan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding atas tiket Perikatan Nasional, Amirudin berkata Profesor Madya Dr Rasid Muhamad daripada PKR yang mewakili Pakatan Harapan merupakan calon yang mampu memberikan saingan sengit.

Pada PRU-15, PKR meletakkan calon di enam kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN di Pahang.

Pahang mempunyai 14 kerusi Parlimen dan 42 kawasan DUN.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram