Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap semasa Majlis Perasmian Persidangan Bahagian Bahagian dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Selangor. GAMBAR: Facebook Azmin Ali

KENYATAAN berbaur ugutan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki disifatkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai angkuh dan sombong.

Mohamed Azmin berkata kenyataan dikeluarkan Rafizi berkenaan juga memperlihatkan watak pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu sebagai cubaan mendera anggota perkhidmatan awam.

Calon PN kerusi Parlimen Gombak itu berkata anggota perkhidmatan awam hanya menjalankan tugas yang diputuskan oleh kerajaan dan bukan ahli politik.

“Jangan bermusuh dengan anggota perkhidmatan awam… tiada keperluan tetapi mungkin ini sudah di takdirkan begitu.

“Anggota perkhidmatan awam boleh lihat sendiri watak PH,” katanya kepada pemberita selepas Rapat Umum Era Baharu Putrajaya hari ini.

Media tempatan melaporkan Rafizi pada Ceramah Mega PH di Johor Bahru semalam, dilapor berkata PH akan ‘mencari’ Azam sekira pakatan itu menang pada PRU-15.

Baca artikel lain: Rafizi perlu mohon maaf ancam SPRM – MCW

Sebelum ini, Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara menggesa SPRM menyiasat harta lebih RM18 juta yang diisytiharkan Rafizi yang juga calon PH kerusi Parlimen Pandan pada PRU-15.

Ditanya mengenai tindakan Pengerusi DAP Lim Guan Eng menyamannya kerana didakwa membuat kenyataan palsu, Azmin berkata: “Itu terpulang hak masing-masing, saya hanya kemuka beberapa perkara yang telah buat PH ditolak oleh rakyat.”

Media hari ini melaporkan, Guan Eng mengarahkan peguamnya untuk memulakan prosiding saman fitnah terhadap Mohamed Azmin kerana membuat kenyataan palsu dengan mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa sebagai Menteri Kewangan.

Guan Eng memberitahu Mohamed Azmin mendakwanya telah menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengejar ‘syarikat yang dikaitkan dengan MCA’, mengenakan cukai baharu ke atas perniagaan dan mengenakan cukai tambahan ke atas ‘perniagaan Cina’ tertentu.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram