Istana Negara, Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMELUT penubuhan Kerajaan Persekutuan menghampiri kemuncak apabila semua tumpuan terarah ke Istana Negara yang mana dateline yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah jam 2 petang.

Berbaki kurang 20 minit ketika artikel ini ditulis, teka-teka gabungan parti manakah yang akan menjadi Kerajaan Persekutuan dan siapa bakal Perdana Menteri ke-10 masih lagi belum terjawab.

Pelbagai spekulasi tersebar, antaranya yang kuat mengatakan Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.

Sejak keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dimuktamadkan, BN yang tewas teruk buat kali pertama dalam sejarah, ditolak oleh rakyat dan dihentam habis-habisan oleh musuh secara tiba-tiba menjadi rebutan baik PH mahupun Perikatan Nasional (PN).

Begitupun, BN dilihat berpecah kepada tiga; menyokong PH, menyokong PN dan tidak menyokong mana-mana pihak.

Antara pemimpin BN yang terawal mengeluarkan kenyataan adalah Bendaharinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ahli Parlimen Sembrong itu dengan tegas menyatakan beliau tidak bersetuju sekiranya BN mahu bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan, apatah lagi mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Senada dengan Hishammuddin ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang secara terbuka mahu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden parti.

Baca lagi: Pendirian saya tegas, BN sebagai pembangkang – Hishammuddin

Pagi ini, ramai pimpinan tertinggi BN datang ke Menara Dato’ Onn untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, yang antara lain membincangkan keputusan pembentukan kerajaan persekutuan.

Antara fokus utama mesyuarat tersebut adalah untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyatakan sokongan kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Begitupun, usai tamat mesyuarat tersebut kira-kira jam 1 petang tadi, semua pemimpin terlibat masih belum mengumumkan keputusan yang telah dicapai.

Antara yang menarik perhatian adalah kenyataan Timbalan Presiden MIC, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang menyatakan beliau sudah mempunyai pilihan di hati (gabungan parti bagi membentuk kerajaan dan calon Perdana Menteri).

Begitupun, pemimpin-pemimpin lain hanya mengunci mulut dan memaklumkan yang satu kenyataan akan dikeluarkan berhubung keputusan mesyuarat tersebut.

Bagi kem PH, Anwar yang berjaya menang merebut Parlimen Tambun pula kekal tenang dan dilihat yakin mampu menjadi Perdana Menteri ke-10.

Anwar secara terbuka bersama-sama pemimpin PH yang lain hadir ke WTC untuk bertemu Ahmad Zahid dan beberapa Ahli Parlimen BN yang lain semalam.

Menurut Presiden PKR itu, beliau yakin telah mencapai persetujuan dengan Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk memberi sokongan kepadanya sebagai Perdana Menteri.

Begitupun, kem PN yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yasin juga masih optimis yang mereka juga turut mempunyai bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Semalam, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Surat Akuan Berkanun yang menyatakan kepercayaan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10 telah dihantar ke Istana Negara.

Pagi tadi, PN sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang mereka mendapat satu lagi Surat Akuan Berkanun yang menyokong Muhyiddin.

Menjelang jam 2 petang, parti mana yang akan memerintah dan siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri akan terjawab.

Ikuti laporan UtusanTV dari semasa ke semasa untuk mengetahui lebih lanjut tentang momen bersejarah ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram