BARISAN Nasional (BN) menasihati semua pihak termasuk parti komponen untuk terus memelihara solidariti dan semangat muafakat yang telah lama terbina dalam gabungan tersebut.
Ia susulan beberapa kenyataan dikeluarkan parti komponen BN yang tular dalam media massa.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia bagi memastikan kesejahteraan dan kerukunan serta toleransi dalam kalangan parti-parti anggota dan parti-parti bergabung BN.
Menurut beliau, sebarang cadangan dan usul yang telah dikemukakan dalam peringkat mesyuarat akan dimuktamad sepenuhnya mesyuarat Dewan Tertinggi BN mengikut peraturan serta Perlembagaan BN.
“BN berpegang kepada prinsip saling menghormati dalam menangani sebarang isu yang dihadapi.
“Justeru, adab dalam menyatakan dan mengeluarkan sebarang kenyataan hendaklah dipelihara dengan sebaik-baiknya agar tidak menimbulkan salah faham.
“Ini termasuklah hal-hal yang dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: MCA sahkan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Zahid
Semalam, tiga parti komponen BN mengusulkan undi tidak percaya kepada Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ia susulan tindakan Ahmad Zahid menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan 30 ahli Parlimen BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Dalam surat yang tular di media sosial, tiga parti komponen itu iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mendakwa Ahmad Zahid mengkhianati keputusan Majlis Tertinggi BN yang bermesyuarat semalam supaya gabungan itu berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak menubuhkan kerajaan.
Surat tersebut yang dihantar kepada Zambry bertarikh semalam turut mempunyai cop terima Ibu Pejabat BN.
Perkara tersebut disahkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon kepada UtusanTV, malam tadi.
Menurut Sin Woon, MCA tidak menyalahkan Ahmad Zahid berhubung kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Sebaliknya, MCA dan dua parti komponen BN iaitu MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menghantar surat tersebut kerana Ahmad Zahid didakwa telah mengkhianati ketetapan Majlis Tertinggi BN.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

