PERIKATAN Nasional (PN) mencalonkan dua nama bagi mengisi jawatan Yang Dipertua atau Speaker dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Dua nama tersebut yang dicadangkan PN bagi jawatan Speaker Dewan Rakyat itu merupakan seorang bekas menteri dan seorang lagi tokoh dikenali.
Perkara berkenaan disahkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menurut laporan BH Online.
Menurut Takiyuddin, dua nama tersebut telah pun dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat semalam.
Sesi pertama Sidang Parlimen di bawah pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan berlangsung kira-kira dua minggu lagi iaitu pada 19 Disember depan.
Antara agenda pertama Sidang Parlimen itu tentu sekali bagi memilih Speaker Dewan Rakyat yang baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mengesahkan akan mengosongkan kedudukan sebelum Parlimen bersidang.
Azhar sebelum ini memaklumkan bahawa semalam merupakan hari terakhir bagi pemakluman dan pemberian notis berhubung pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada Setiausaha Dewan Rakyat.
Baca artikel berkaitan: Wan Junaidi atau Mohamad Ariff jadi Speaker Dewan Rakyat?
Azhar yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke-10, menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada 13 Julai 2020.
Pertukaran itu berlaku berikutan perubahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan diganti oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pemilihan Azhar dibuat berikutan hanya seorang calon dikemukakan bagi jawatan itu selepas usul mengenainya dikemukakan Muhyiddin.
Di pihak kerajaan, dua nama disebut-sebut bakal mengisi kekosongan tersebut adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
Bagaimanapun, media melaporkan bahawa kerajaan mungkin menamakan bekas ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sebagai Speaker Dewan Rakyat.
Difahamkan, kerajaan juga telah menghantar dua lagi nama iaitu ahli Parlimen Cameron Highland, Ramli Md Nor dan seorang lagi nama daripada DAP untuk mengisi jawatan tersebut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

