PENYANYI, penulis lirik dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslow akui ‘jatuh cinta’ dengan Maggi mi kari ketika pertama kali bertandang ke Malaysia, 10 tahun lalu.

ujar Melly atau nama sebenarnya Meliana Cessy Goeslaw,48, jika ada rakan-rakannya yang berkunjung ke negara ini, dia akan mengirim untuk membeli makanan tersebut.

“Memang dari dulu saya sangat gemar dengan maggi mi kari. Saya sudah membeli tiga kotak untuk dibawa pulang ke Indonesia.

“Pada saya Maggi mi kari ini rasanya memang cukup ‘strong’. Sebab itu kalau ada rakan-rakan yang datang Malaysia, saya akan kirim untuk dibelikan maggi mi kari,” katanya kepada URTV.

Melly berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar konsert Ada Apa Dengan Melly yang berlangsung baru-baru ini di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Sementara itu, penyanyi lagu Demi Cinta itu menyatakan dia kini lebih peka dalam soal memilih pemakanan lebih-lebih lagi selepas dia menjalani pembedahan bariatrik.

Jelas Melly, berat badannya pernah mencapai sehingga 100 kilogram biarpun dia sudah berusaha untuk menurunkan berat badan tanpa menggunakan sebarang rawatan.

Namun, bimbang jika kesihatannya akan terganggu, akhirnya Melly akur untuk melakukan pembedahan berkenaan atas nasihat doktor.

“Sejujurnya selepas saya membuat pemeriksaan, doktor memberitahu saya menghidap diabetes. Saya memang terkejut dan tanpa membuang masa saya segera menjalani pembedahan itu demi kesihatan.

“Selama ini saya tidak tahu jika saya merupakan penghidap diabetes. Syukurlah saya cepat bertindak.

“Pembedahan bariatrik ini tidak menyakitkan. Melahirkan anak lebih sakit. Doktor membuang hampir 80 peratus perut saya agar proses pencernaan makanan dapat dicerna dengan cepat.

“Sekarang saya rasa lebih sihat, badan pun rasa ringan. Diabetes juga sudah tidak ada lagi,” ujarnya.

Mengulas mengenai konsertnya yang akan berlangsung pada 3 Februari di Plenary Hall, KLCC, Melly akui teruja kerana ini merupakan persembahan pertamanya di negara ini.

“Untuk konsert nanti saya akan menyanyikan lebih 30 buah lagu dan pada usia saya yang sudah mencecah 49 tahun, pastinya saya memerlukan stamina yang kuat.

“Banyak lagu-lagu runut bunyi (OST) yang akan saya persembahkan kepada peminat. Bagi mereka yang akan hadir nanti di konsert saya, wajib memakai uniform sekolah kerana kita nak imbau kembali memori sewaktu di zaman persekolahan,” jelasnya.