PENYANYI yang juga peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Tom mengakui cintanya dengan bekas kekasih, Fuad Rahman kembali mewangi selepas sama-sama menyertai program realiti berkenaan.

Menurut Tom atau Raja Farah Afzal Raja Ikram,36, hubungannya dengan Fuad pernah terjalin pada 2005 sebelum putus pada 2010.

“Saya dan Fuad pernah bercinta pada 2015 namun kami terpaksa memutuskan hubungan sebab dia menjalani hukuman penjara selama lima tahun. Ketika itu saya memang tak suka bila dia terlibat dengan penyalahgunaan dadah, jadi saya undur diri.

“Saya memang tak sangka dia salah seorang peserta GV9. Memang kami tak jangkakan langsung akan bertemu kembali dalam program realiti.

“Sepanjang di GV9, kami hanya sekadar kawan sahaja walaupun ketika itu dia ada beritahu hubungannya dengan isteri sedang bermasalah.

“Kalau hendak diikutkan, kami baharu seminggu ‘declare’ sebagai pasangan kekasih,” katanya ketika dihubungi URTV.

Jelasnya lagi, dia dan Fuad sama-sama pernah mengalami kegagalan rumah tangga, justeru mereka lebih saling memahami dan memerlukan antara satu sama lain untuk membina hidup baru.

Empat tahun bergelar ibu tunggal, Tom akui tidak pernah rasa kesal atau takut untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua apatah lagi dia sudah lama mengenali Fuad.

“Sayang tu memang sayanglah. Ramai tahu dia pernah terjebak dengan dadah dan pernah keluar masuk penjara. Dia pun baru sahaja bercerai. Macam-macam yang berlaku dalam hidup dia.

“Keluarga dia juga ada meminta saya untuk tolong jaga dia ketika tinggal di Malaysia sepanjang program GV9 berlangsung. Saya tak nak dia kembali lagi dengan najis dadah dan saya nak pulihkan semangat dia.

“Saya harap saya mampu memberi sokongan kepada dia. Kami nak gunakan peluang kedua ini untuk tebus keasalahan dulu dan bina kehidupan baru,” ujarnya.

Artikel berkaitan: Fuad Rahman sahkan sudah bercerai, Tom bukan orang ketiga dalam rumah tangganya

Ditanya tentang perancangan untuk ke fasa perkahwinan, Tom mengatakan dia dan Fuad masih belum membincangkan tentang hal tersebut.

Jelasnya, fokus mereka kini lebih kepada mahu membina nama dalam industri seni selepas berakhirnya program GV9 pada 27 November lalu.

“Memang dia akan bawa saya berjumpa dengan keluarganya di Singapura pada minggu hadapan tapi bukan nak bincang tentang hal kahwin. Saya dan Fuad ‘follow the flow’. Anak-anak kami pun dah pernah berjumpa.

“Ketika ini masing-masing dah single, jadi tak ada salahnya untuk kami bercinta. Saya dan Fuad ada berbincang tentang pernikahan, tapi buat masa ini kami fokus pada karier seni dulu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tom turut menangkis dakwaan segelintir warganet yang mengatakan dia menjadi punca Fuad bercerai.

“Tidak. Saya bukan punca Fuad bercerai. Kalau tak percaya, boleh tanya kepada bekas isteri dan keluarga dia.

“Saya terima Fuad lepas dia bercerai. Mereka baru enam bulan berkahwin tetapi tak sefahaman. Saya pun tak tahu apa masalah mereka yang sebenarnya.

“Saya pun risau sebenarnya tapi apa yang saya nak tekankan, saya bukan punca mereka berpisah,” tegasnya.

Terdahulu, Tom dan Fuad telah mengemaskini status Facebook mereka sebagai ‘in a relationship’. Malah, pasangan ini turut menukar gambar profil yang memaparkan foto mereka berdua.