MENTERI Komunikasi dan Multimedia sebelum ini, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan pelantikan Datuk Seri Zurainah Musa sebagai Pengerusi Finas sehingga 2024.

BEKAS Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Seri Zurainah Musa mengesahkan beliau telah ditamatkan perkhidmatannya di agensi tersebut selepas mendapat surat daripada Pejabat Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Melalui surat tersebut, Ahmad Fahmi telah memendekkan tempoh lantikan Zurainah sebagai Pengerusi FINAS selaras dengan kuasa Menteri dibawah Sekyen 4(2) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

“Sebagai Menteri baharu perkara ini merupakan prerogatif beliau dan saya memahami bahawa sebagai pucuk pimpinan baru di kementerian beliau akan mempunyai visi dan cara kerja sendiri yang ingin dibawa dan memerlukan sokongan ahli-ahli pasukannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Katanya, tindakan itu tiada kaitan dengan tohmahan sesetengah pihak bahawa terdapat penyelewangan dana FINAS kerana kesemua keputusan berkaitan perolehan telah mengikuti tatacara dan tertib FINAS, malah dibuat secara bersama melalui perbincangan mesyuarat Ahli Perbadanan FINAS.

“Saya bersedia untuk membantu sebarang siasatan jika diperlukan,” katanya sambil mengucap terima kasih kepada seluruh keluarga FINAS yang telah memberikan sepenuh kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh beliau memegang jawatan Pengerusi FINAS.

Beliau berkata, gabungan antara penggerak industri kreatif negara bersama FINAS mampu melonjakkan nama Malaysia ke persada antarabangs dan bersaing secara sihat dengan negara luar, namun hanya perlu
mempertingkatkan usaha pemasaran dengan lebih agresif.

“Saya amat yakin penjenamaan Malaysia sebagai destinasi filem yang boleh melonjakkan ekonomi negara akan lebih menyerlah melalui suntikan pelaburan besar daripada penggiat seni dari seluruh dunia.

“Berhubung dengan ini, saya ingin juga menyatakan kesediaan untuk membantu dalam segala aspek peralihan kepimpinan FINAS yang bakal berlaku,” katanya.

Beliau seterusnya menggariskan beberapa cabaran yang harus dihadapi oleh FINAS dan pengantinya dalam menghadapi pelbagai cabaran industri pada masa kini.

BERITA BERKAITAN FINAS tak pilih kasih dalam permohonan dana

Antaranya ialah kesan wabak Covid-19 telah menjejaskan industri dengan teruk dan ia sangat memerlukan bantuan kerajaan dan bantuan untuk mereka bangkit semula.dan menggalakan semula pengambaran filem di negara ini.

“Isu-isu berkaitan kebajikan ahli industri terutamanya kru-kru filem juga amat kritikal. Kita perlu memastikan mereka bukan hanya dilindungi oleh skim perlindungan insurans sosial (seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah PERKESO) malah kita perlu menangani isu gaji yang adil dan setimpal,” katanya.

Katanya, keadaan itu sangat kompleks dan memerlukan kerajaan melihatnya bukan sahaja dari segi penggajian daripada studio dan ‘production house’ tetapi lebih penting, juga dari segi bagaimana filem-filem kita dihargai dan nilai yang dibeli oleh saluran-saluran media yang menayangkan filem-filem tersebut.

Katanya, kerajaan juga perlu melihat mengenai kebangkitan negara jiran seperti Thailand dalam usaha mereka untuk mempromosikan negara itu sebagai destinasi pengambaran filem antarabangsa perlu dipandang serius.

“Sekiranya proses dan pertimbangan Jawankuasa Agensi Pusat Permohonan Persembahan Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) tidak ditambahbaik dengan segera, ia akan menyebabkan industri kita jauh ketinggalan dan pelaburan masuk ke dalam negara kita berkurangan,” tambahnya.

Beliau juga berpendapat FINAS sebagai sebuah agensi yang telah lama ditubuhkan mempunyai pelbagai tatacara dan proses birokratik yang mengekang kebolehan ia bertindak pantas dalam keadaan pemulihan ini.

“Ini sekaligus mengikat tangan dan kaki warga FINAS yang sentiasa rajin dan bertungkus lumus untuk membantu pihak industri. Justeru kerangka kerja baru yang lebih efektif dan praktikal perlu diwujudkan untuk mengatasi cabaran ini,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram