MENJELANG usul undi percaya di Parlimen yang akan diadakan pada hari pertama dewan itu bersidang Isnin depan, empat gabungan parti politik memeterai perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH), petang ini sebagai sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.
Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan adalah Setiausaha Agong gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr (WARISAN).
Perjanjian persefahaman kerjasama itu ditandatangani di Putrajaya hari ini, pada pukul 3.15 petang tadi.
BERITA BERKAITAN Usul undi percaya kerana mahu pimpin negara dengan mandat jelas – Anwar
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengesahkan parti politik yang menyokong pentadbiran Anwar akan memeterai perjanjian berkaitan kerjasama itu, hari ini.
Katanya, langkah itu mendahului usul percaya yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Isnin ini.
Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang djadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis ini.
Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, usul itu adalah yang kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.
Anwar, semasa sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas, berkata satu usul undi percaya akan dibentang dalam persidangan Parlimen pada 19 Dis ini bagi menamatkan kemelut berhubung soal keabsahan beliau selaku Perdana Menteri ke-10.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram