GAMBAR FB Ahmad Jazlan Yaakub

TIDAK sampai tiga hari mesyuarat jemaah menteri memutuskan semua jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Pengerusi Barisan Nasional Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub akan dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, keputusan melantik bekas Ahli Parlimen Machang itu dibuat selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Beliau berkata, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.

“Saya tak boleh untuk tak setuju untuk memberikan kepercayaan semula kepada Datuk Ahmad Jazlan. Dengan ini saya mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (Datuk Ramlan Harun) untuk mengeluarkan surat pelantikan semula dengan sesegera yang mungkin, tertakluk kepada persetujuan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

BERITA BERKAITAN CEO GLC, GLIC perlu isytihar harta kepada SPRM – Perdana Menteri

“Menteri sudah bersetuju atas arahan Timbalan Perdana Menteri. Tidak mustahilah Datuk KSU segera menyempurnakan lantikan semula itu,” katanya pada Majlis Sambutan 40 Tahun serta Mesyuarat Agung Perwakilan Kali ke-40 koperasi berkenaan malam ini, memetik laporan Berita Harian.

Ahmad Zahid berkata, Ahmad Jazlan sebelum ini antara pengerusi GLC lantikan politik yang sudah menamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi FELCRA, susulan pembentukan kerajaan baru, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

FELCRA Berhad pada 3 Oktober tahun lalu mengumumkan pelantikan Ahmad Jazlan sebagai pengerusi baharunya.

Lembaga Pengarah FELCRA Berhad berkata, pelantikan Ahmad Jazlan, 58, langkah strategik bagi memacu komitmen pengurusan tertinggi dalam menjayakan pelan transformasi dan hala tuju ke arah kelestarian syarikat.

Sementara itu, media sebelum ini melaporkan, susulan keputusan mesyuarat Kabinet Rabu lepas, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki mengeluarkan surat arahan agar semua perkhidmatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah di bawah kuota lantikan politik akan ditamatkan dengan serta-merta.

Menerusi surat berkenaan, penamatan itu membabitkan jawatan bagi badan berkanun persekutuan, syarikat menteri kewangan (diperbadan), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram