BARU beberapa jam selepas mengangkat sumpah pagi tadi, Dewan Rakyat kembali ‘bernyawa’ dengan tingkah laku ahli-ahli Parlimen sekali gus menyaksikan sesi persidangan kecoh buat seketika.
Kekecohan itu tercetus selepas Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bangkit mempertikaikan pembentangan usul undi percaya menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Shahidan bangun membangkitkan Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat 36 (7) kerana menyebut Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu yang didakwa ‘mempengaruhi’ majlis mesyuarat.
“Bagi kami (pembangkang), kalau Yang di-Pertuan Agong sudah mengabsahkan, buat apa (usul undi percaya),” katanya.
Terdahulu, Fadillah dalam ucapannya berkata Ahli Parlimen Tambun itu harus diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri kerana pelantikan beliau mendapat izin Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul kemudiannya mengatakan Fadillah hanya membawa penjelasan fakta dan perkara itu terbuka untuk perbahasan kepada 12 pembahas berhubung usul undi percaya.
Baca artikel berkaitan: Usul undi percaya kepada PM akan dibahaskan
Perkara itu seterusnya membuatkan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) bangkit mengatakan kerajaan ‘berani’ membawa usul undi percaya tersebut tidak seperti pentadbiran terdahulu.
“Kami berani, tak macam dulu, dulu tak berani nak bawa. Perdana Menteri kelapan tak berani nak bawa, isytihar darurat.
“Perdana Menteri yang ada hari ini berani,” jelasnya.
Kekecohan yang berlaku kira-kira lima minit itu kemudiannya membawa kepada Shahidan mengatakan Mohd Sany sebagai ‘orang sakit baru keluar hospital’.
Mohd Sany dan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) yang berang dengan perkara tersebut meminta Shahidan untuk menarik balik ayat tersebut.
Johari seterusnya meminta semua ahli Parlimen supaya bertenang dan memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memulakan perbahasan usul undi percaya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

