USUL undi percaya kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi salah satu agenda dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat akan dibahaskan hari ini.
Perkara tersebut disahkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menerusi ciapan di Twitter.
Menurut Rafizi yang juga Naib Presiden PKR, beliau akan terlibat dalam perbahasan usul undi percaya berkenaan.
“Saya akan turut terlibat berbahas hari ini ketika sesi perbahasan undi percaya kepada Kerajaan Perpaduan sekitar jam 3.30 petang.
“Sahabat-sahabat boleh ikuti secara langsung di platform media sosial saya. Pohon disebarkan kepada semua yang ingin mengikuti. Terima kasih,” katanya dalam ciapan berkenaan.
Usul undi percaya dijangka dibentangkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Berdasarkan aturan mesyuarat Dewan Rakyat, Timbalan Perdana Menteri akan mencadangkan bahawasanya Perdana Menteri menjunjung kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas cetusan idea penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, ini berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang telah menatijahkan situasi Parlimen tergantung di mana tiada parti politik atau gabungan parti politik memperoleh majoriti mudah.
Menurut usul cadangan itu, situasi berkenaan tidak pernah berlaku sepanjang sejarah negara ini dengan idea penubuhan Kerajaan Perpaduan merupakan cerminan pandangan jauh serta keprihatinan Seri Paduka demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.
Baca artikel berkaitan: Usul undi percaya, pelantikan Speaker tumpuan pertama persidangan Dewan Rakyat
“Dengan ini, Dewan ini perlu mengambil ketetapan dan berikrar memberi sokongan sepenuhnya terhadap kepimpinan Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Tambun selaku Perdana Menteri bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.
“Dengan ini, bahawasanya Dewan ini berdiri teguh sambil menyokong sepenuhnya pelantikan dan kepimpinan Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Tambun selaku Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh,” menurut usul cadangan itu.
Ini kali ketiga usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan di Dewan Rakyat, dengan kali pertama dibentangkan pada 27 Januari 1976, ketika bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn menggantikan Tun Abdul Razak Hussein.
Seterusnya usul sama yang dibentang pada 3 November 2003, ketika era peralihan kepimpinan dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kedua-dua usul dikemuka ketika itu menyaksikan keputusannya masing-masing menyokong Hussein dan Abdullah.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

