PERKHIDMATAN Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Dua dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada bulan Mac tahun hadapan.
MRT Corp Sdn. Bhd. dalam kenyataan memaklumkan kerja-kerja pembinaan MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua dari Stesen Kampung Batu ke Stesen Putrajaya Sentral telah siap dan kini sedang dalam fasa kesediaan operasi.
Menurut MRT Corp, jajaran fasa dua sepanjang 38.7 kilometer itu merangkumi 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah.
Katanya, semasa fasa kesediaan operasi ini, Rapid Rail Sdn. Bhd yang merupakan pengendali Laluan Putrajaya sedang menjalankan operasi percubaan terakhir bersama kontraktor turnkey, MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn. Bhd.
MRT Corp memberitahu, operasi percubaan terakhir adalah penting untuk memastikan semua sistem dan prosedur berfungsi dengan berkesan terutama penyepaduan sistem, operasi dan kesediaan pengendali.
“Setakat ini, ujian dan pentauliahan merangkumi ujian tanpa kesalahan (FFR) sepanjang 4,000 kilometer telah berjaya diselesaikan.
“Ia adalah ujian penting untuk memastikan bahawa kereta api selamat dan sesuai untuk perkhidmatan.
“Tarikh tepat memulakan operasi Fasa Dua akan diumumkan sebaik sahaja proses kelulusan telah dimuktamadkan dengan pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: PM umum pelaksanaan MRT3 dan dua lagi projek infrastruktur berimpak tinggi
Sebelum ini, jajaran Fasa Satu Laluan Putrajaya sepanjang 17.5 kilometer merangkumi 11 stesen bertingkat dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah dibuka pada 16 Jun lalu.
Sebanyak 36 stesen akan ditempatkan di sepanjang 56.2 kilometer Laluan Putrajaya apabila ia beroperasi sepenuhnya.
Penumpang boleh berpindah ke laluan rel sedia ada yang lain di 10 stesen pertukaran berbeza sekali gus memberi kemudahan dan pemindahan lancar ke destinasi pilihan mereka.
Stesen pertukaran adalah di Kwasa Damansara untuk bertukar ke Laluan MRT Kajang; Sungai Buloh, Sri Damansara Timur dan Kampung Batu untuk mengambil perkhidmatan Komuter; Titiwangsa pertukaran dengan Laluan LRT Sri Petaling dan Ampang, Monorel serta Stesen Taman Ampang untuk bertukar ke Laluan LRT Kelana Jaya.
Selain itu pengguna juga boleh bertukar tren Laluan MRT Kajang di Stesen Tun Razak Exchange; Stesen Chan Sow Lin untuk mengambil perkhidmatan LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling; Sungai Besi (dengan laluan LRT Sri Petaling) dan Putrajaya Sentral (dengan ERL dan Laluan KLIA Transit).
Jajaran Laluan Putrajaya akan dikendali menggunakan 49 set kereta api dengan setiap set terdiri daripada empat gerabak mampu memuatkan maksimum 1,200 penumpang.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

