VETERAN UMNO melihat tiada keperluan dua jawatan utama parti dipertandingkan pada pemilihan akan datang meskipun menerima desakan ramai pihak.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, keutamaan UMNO kini adalah memiliki pemimpin yang mampu menerajui parti khususnya pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Jelasnya, gandingan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyandang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dilihat mampu membawa agenda berkenaan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan desakan timbul susulan agenda segelintir pemimpin yang mahu UMNO diterajui individu tertentu, biarpun calon cuba diketengahkan belum terbukti ketokohannya.
“Dalam keadaan seperti ini, apa keperluan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan? Adakah memegang jawatan utama lebih penting berbanding menyokong pemimpin sedia ada merangka agenda membetulkan parti?
“UMNO perlu lihat bagaimana parti dipandang sepi ketika Ahmad Zahid tidak menganggotai Kabinet sebelum ini.
“Adakah keadaan sedemikian yang dimahukan ahli atau pemimpin tertentu dalam UMNO?” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.
Baca artikel lain: Malaysia harap Afghanistan kaji semula keputusan haramkan wanita ke universiti
Beliau mengulas kenyataan Ketua UMNO Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menyifatkan parti itu akan dianggap tidak demokratik jika tunduk kepada usaha pihak tertentu menghalang jawatan dalam parti dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Mohamed Nazri dilapor menyifatkan cadangan itu ‘lapuk’ dan tindakan sedemikian boleh menyekat amalan demokrasi yang lama subur dalam UMNO, sekali gus menunjukkan parti itu semakin hilang arah dan identiti perjuangan.
Mengenai desakan sama diketengahkan segelintir pemimpin Pemuda UMNO, Mustapha berkata, mereka seharusnya tampil lebih berani dengan menamakan individu yang dianggap sesuai menggantikan Ahmad Zahid dan Mohamad.
“Segelintir pemimpin Pemuda UMNO jangan berselindung di sebalik agenda peribadi. Sila namakan siapa pemimpin yang layak dan boleh ditonjolkan bagi menggantikan Ahmad Zahid jika tidak suka beliau memegang jawatan Presiden UMNO.
“Jangan kerana berselindung sebalik agenda keperluan kepada pemimpin muda atau baharu untuk menerajui UMNO. Cuba jadi rasional dan jangan taksub kepada pemimpin tertentu. Apa untungnya tindakan sedemikian kepada parti?” soalnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

