Anwar Ibrahim menunaikan Solat Jumaat di Masjid Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, semalam. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

KERAJAAN akan terus memperkasa usaha untuk meningkatkan lagi keyakinan pelabur luar dengan mengamalkan tadbir urus yang baik, bebas rasuah dengan memastikan Malaysia bukan tempat untuk pemimpinnya menggondol kekayaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini memandangkan kerajaan telah mendapat senarai pelabur dari negara seperti Eropah, Amerika Syarikat, China, India serta beberapa negara sekitar Asia yang akan datang dan melihat sendiri perkembangan di Malaysia khususnya dari aspek ekonomi. 

“Kita harap ada tumpuan baharu yang boleh meningkatkan dan memacu pertumbuhan ekonomi lebih meyakinkan. Ini perlu kerana Malaysia adalah negara perdagangan yang selama ini mencatat kadar pertumbuhan ekonomi berdasarkan usaha kita menerima pelaburan domestik dan luar negara. 

“Selain kestabilan politik dan tadbir urus yang baik, langkah lain yang harus diambil ialah dengan usaha mempercepat proses kelulusan dengan menjamin bahawa Malaysia ini bukan tempat pemimpin-pemimpin menggondol kekayaan, bukan mencari helah menerima komisen,” kata beliau. 

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 yang disiarkan secara langsung menerusi saluran stesen televisyen tempatan malam ini. 

Anwar menegaskan, biarpun perutusan sempena tahun baharu 2023 dibuatnya dari mimbar Masjid Putra, namun ia bukan hanya memberi peringatan kepada umat Islam semata-mata.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, perutusan itu turut ditujukan kepada masyarakat bukan Islam di negara ini.

BERITA BERKAITAN Anwar, Wan Azizah ucap takziah kepada PM India atas pemergian ibu

Beliau berkata, negara ketika ini berdepan dengan isu perkauman sempit dan fahaman agama yang pantas menghukum tanpa berlandaskan kepada fakta.

“Mesej ini adalah kepada orang Islam dan bukan Islam,” katanya ketika menyampaikan perutusan Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra, Putrajaya malam ini.

Perdana Menteri malam ini menghadiri program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 yang diadakan di Masjid Putra di sini.

Beliau yang tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 6.20 petang tadi, turut solat maghrib dan isyak berjemaah dengan kira-kira 2,000 jemaah di Dewan Solat Utama Masjid Putra.

Turut menghadiri program pada malam terakhir 2022 itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram