“Saya tak kisah jika orang tak kenal saya sebagai adik Haqiem Rusli.”
Demikian kata penyanyi Zali Rusli apabila dirinya sering dikaitkan dengan abangnya yang juga penyanyi terkenal.
Ujar Zali,17, dia lebih selesa dikenali atas usaha dan bakat seninya sendiri berbanding dibayangi oleh abang kandungnya.
“Saya lebih selesa untuk ‘merangkak’ dan berdiri di atas nama serta bakat saya sendiri,” jelasnya.
Dua tahun lalu sewaktu dunia dilanda wabak Covid-19, Zali telah melancarkan single pertamanya berjudul Pewangi ciptaan Haqiem Rusli dan Ibnu.
Namun nasib tidak menyebelahinya kerana lagu tersebut seolah-olah tidak berjaya melonjakkan nama dan bakat Zali kerana segala pergerakan ativiti promosi sangat terbatas.
Terbaharu, Zali muncul sekali lagi dengan single kedua yang juga mempertaruhkan lagu ciptaan Haqiem dan Zali sendiri berjudul Kamu Cantik Malam Ini.
Bila ditanya kenapa tidak menyanyikan lagu pencipta lain, Zali memberitahu dia lebih yakin dan selesa untuk membawakan karya hasil ciptaan sendiri.
“Buat masa sekarang saya rasa selesa menyanyikan lagi ciptaan kami, dan ianya mendapat persetujuan dari pihak FMC Music.
“Namun, jika diberi peluang saya juga mahu menyanyikan lagu pencipta lain.
Tapi kali ini saya rasa lebih yakin menyanyikan lagu ciptaan sendiri bersama Haqiem,” ujarnya.
Zali yakin kerana lagu bergenre balada seperti ini mudah diterima dan membekas di hati pendengar.
“Jika dilihat situasi sekarang, ramai pendengar sukakan lagu-lagu jiwang balada era 90an, jadi saya rasa lagu ini memang bertepatan dengan konsep dan selera dan pendengar masa kini,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengapa tidak menyanyikan semula lagu lama dengan versi sendiri seperti penyanyi lain di bawah naungan FMC Music, Zali memberitahu dia enggan terlalu bergantung kepada lagu yang sudah sedia ada.
“Menurut saya biarlah mereka sahaja buat dulu, saya nanti dulu. Kerana saya yakin jika kita boleh mencipta satu karya baru yang boleh di popularkan dan masih menepati selera pendengar. Kenapa kita nak bergantung pada lagu lama sahaja kan?,” tegasnya.
Menyentuh soal muzik video yang melibatkan pelakon remaja yang kontroversi baru-baru ini Zali berkata, dia sangat teruja dapat bekerjasama dengan Qistina Raisah.
“Pada mulanya saya terkasima juga waktu jumpa Qistina Raisah. Dia bukan sahaja cantik malah dia sangat peramah.
“Hati lelaki mana yang tak bergetar kalau jumpa wanita secantik Qis. Sebelum ini saya tengok Qis dalam drama saja bila dah depan mata terus terkedu.
“Dan jujur saya cakap saya terpaut hati pada Qis. Tapi bila dapat tahu dia dah ada seseorang, saya pendam sajalah,” ujarnya Zali berseloroh.
Kamu Cantik Malam Ini sudah dilancarkan di semua platform digital termasuk muzik video di Youtube FMC Music.
“Saya ikhlas untuk berada dalam industri hiburan ini kerana minat dan saya tidak mahu dibayangi atau dikatakan menumpang populariti abang saya. Moga anda semua menerima dan suka dengan lagu saya kali ini,” katanya penuh berharap.

