PRODUSER terkenal, Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa kecewa sebaik mengetahui anaknya, Syamsul Yusof sudah bernikah kali kedua dengan Ira Kazar.
Ujar Yusof,69, sebagai seorang bapa, dia terkilan kerana Syamsul tidak berbincang terlebih dulu dengan keluarga selain turut merahsiakan hubungannya dengan wanita lain sehingga rumah tangganya dengan Puteri Sarah Liyana berdepan krisis.
“Sebagai bapa, saya hanya mendoakan yang baik-baik buat anak dan menantu saya, Puteri Sarah. Saya harap Syamsul buat pilihan yang betul kerana saya percaya dia sudah cukup matang untuk buat keputusan.
“Cuma, iyalah, saya sangat terkilan dengan tindakan Syamsul yang tidak berbincang dengan saya dan ibunya sebelum nak nikah. Saya hanya tahu dia dah bernikah lagi satu pada hari ini, itu pun kawan saya yang cakap dekat saya.
ARTIKEL BERKAITAN: Syamsul Yusof mengaku dah nikah dengan Ira Kazar, minta Puteri Sarah pulang ke rumah untuk selesaikan konflik rumah tangga
“Sepatutnya lagi dulu lagi Syamsul kena berterus terang dengan Sarah. Kenapa perlu simpan rahsia itu (curang) daripada pengetahuan keluarga?
“Kesannya, isu rumah tangga mereka tersebar di media sosial dan diperkatakan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Yusof reda dengan apa yang berlaku dan berharap Syamsul tidak melupakan tanggungjawab sebagai ayah kepada dua orang cahaya matanya bersama Sarah.
“Walau apa pun yang berlaku dengan rumah tangga Syamsul dan Sarah, saya harap Syamsul tidak mengabaikan tanggungjawabnya memberi nafkah kepada cucu-cucu saya (anak Syamsul).
“Saya harap dia jalankan peranannya sebagai bapa kepada dua orang anaknya sebaik mungkin. Saya doakan yang terbaik buat Sarah dan harap dia tabah berdepan ujian yang maha berat ini,” luahnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

