PARTI Warisan tidak akan mendesak Datuk Seri Hajiji Noor untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah.
Sebaliknya, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Hajiji sendiri perlu meletakkan jawatan secara terhormat selaras dengan Perlembagaan Negeri Sabah.
Jelas Mohd Shafie, Hajiji sewajarnya mematuhi undang-undang terutama Perlembagaan Negeri Sabah dalam menentukan kedudukan ketua menteri dan kerajaan negeri.
“Dakwaan pihak tertentu kononnya mempunyai bilangan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) teramai tidak sepatutnya dimainkan demi kestabilan politik negeri, sebaliknya semua pihak perlu merujuk dan bertindak berlandaskan undang-undang berkaitan.
“(Hajiji) perlu lakukan perkara yang terhormat, tiada siapa yang tahu sama ada beliau mempunyai sokongan majoriti atau tidak,” katanya memetik laporan Bernama.
Baca lagi: Hajiji hilang sokongan, perlu letak jawatan serta merta – ADUN KDM
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, Hajiji tidak mengetuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memandangkan ianya adalah gabungan parti.
Jelas beliau, perjanjian membentuk kerajaan Sabah (selepas Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 pada 2020) juga antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Begitupun, sekarang Hajiji sudah keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan komponen PN,” katanya.
Ditanya adakah Warisan akan bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan negeri, Mohd Shafie berkata keutamaan sekarang adalah menentukan kedudukan ketua menteri dan kerajaan negeri berdasarkan undang-undang.
Ditanya adakah Warisan mempunyai sokongan majoriti ADUN Sabah untuk membentuk kerajaan negeri, beliau berkata: “Berlandaskan undang-undang dahulu, bukan nombor.”
“Saya bersimpati dengan rakyat Sabah apabila terpaksa menghadapi ketidaktentuan politik seperti ini, justeru apa yang perlu sekarang adalah tentukan kedudukan (ketua menteri dan kerajaan negeri) yang kukuh berdasarkan lunas undang-undang yang kita ada,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

