PERTEMUAN dengan Aeril Zafrel dan isterinya, Wawa Zainal adalah bertujuan untuk membincangkan hasrat kedua-dua selebriti itu untuk membina masjid baharu di Kampung Sungai Kluang Darat, Rengit.
Itu penjelasan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi selepas ramai pentaksub politik mengecam tindakannya melakukan pertemuan dengan Aeril dan Wawa di sebuah hotel semalam.
Mohd Puad berkata, beliau terkejut apabila perkongsian mengenai pertemuan itu di media sosialnya telah dikecam beberapa pentaksub politik yang menyatakan Aeril dan Wawa merupakan penyokong tegar Perikatan Nasional (PN).
Antara hujah pentaksub politik yang meninggalkan komen negatif terhadap pertemuan itu adalah Mohd Puad sepatutnya tidak melayan Aeril yang dianggap sebagai ‘golongan cari makan’.
Begitupun, Mohd Puad dalam hantaran sama menjelaskan yang pertemuan dengan kedua-dua pasangan selebriti itu adalah atas kapasitinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit.
“Aeril jumpa saya kerana mereka mahu membina masjid baharu di kampung kelahirannya, Kampung Sungai Kluang Darat, Rengit. Ini bukan perkara baharu. Ia sudah dirancang sebelum saya menang di DUN Rengit tahun lepas.
“Peguam Aeril sudah berjumpa dengan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Masjid beberapa kali. Orang kampung memang berharap untuk mendapat masjid baharu.
“Aeril mahu berjasa dengan orang kampungnya. Ia hasil titik peluhnya sendiri. Lagi pun orang lain juga akan mendapat manfaatnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, beliau telah mengetepikan isu politik dalam isu amal jariah khususnya dalam usaha untuk membina masjid baharu.
Jelas Mohd Puad, Aeril lebih tahu menghormati orang lain kerana tetap berjumpa dengannya untuk urusan pembinaan masjid tersebut biarpun selebriti itu penyokong PN.
Mohd Puad berkata, Aeril juga mahu bekerjasama dengannya kerana pembinaan masjid melibatkan isu birokrasi, peraturan dan melibatkan kos mencecah jutaan ringgit.
“Saya harap rakyat Malaysia lebih terbuka dengan isu amal jariah. Jangan campur aduk dengan sentimen politik. Sama juga bila Kerajaan pusat membantu mangsa banjir di negeri pembangkang seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu.
“Sekali lagi terima kasih Aeril dan Wawa. Allah jua yang akan membalas budi baik mereka berdua,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

