[VIDEO] Selepas 2 tahun ‘diperam’, Ayu Damit lega Kejam akhirnya dilancarkan – “Saya sengaja memilih genre balada kerana…,”

Dari Penulis

NAMANYA bukan calang-calang, wanita genit bersuara emas ini pernah menyandang gelaran juara program realit, One In A Million musim ke-2 (OIAM2) pada 2008.

Kini, Anak kelahiran Putatan, Sabah, Ayu Damit kini kembali dengan single terbaharu dalam genre balada berjudul Kejam hasil ciptaan komposer muda Khairul Daniel, manakala liriknya ditulis sendiri oleh Ayu bersama Slen dan Jay.

“Syukur Alhamdulillah, penantian selama dua tahun akhirnya berbaloi dengan terlahirnya single Kejam ini.

“Pelbagai rintangan terpaksa dihadapi bagi menyiapkan lagu ini, masakan tidak hampir setahun diperuntukkan untuk sampai ke tahap ini, namun saya akur ini adalah ketentuan-Nya kerana kita hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan segalanya.

“Selepas beberapa tahun berada dalam industri muzik Malaysia, kerjaya seni saya ada kalanya naik dan turun disebabkan beberapa faktor dan rezeki dalam bidang seni seakan tidak menyebelahi saya sehinggalah saya membuat keputusan untuk fokus terhadap keluarga dan juga perniagaan yang saya usahakan bersama suami.

“Kemudian, pada tahun 2020 saya telah ditawarkan untuk menyertai GV7 (Gegar Vaganza musim ke-7) dan berjaya memperoleh tempat ketiga, dan dari situlah saya mula konsisten untuk kembali aktif menyanyi dan mengembangkan lagi bakat saya sebagai seorang penyanyi di bawah pengurusan JoePRC International,” katanya.

Single Kejam terhasil bertitik-tolak daripada usaha Ayu sendiri bersama suami tercinta iaitu Syed Fauzi Syed Baharuddin yang sentiasa mendukungi setiap keputusan yang diambilnya sehingga sanggup mengeluarkan modal sendiri dan tidak mengharapkan mana-mana tajaan kerana terlalu serik dengan pengalaman lalu.

“Saya bertemu dan berbincang dengan komposer bernama Khairul Daniel lantas menyatakan lagu bagaimana yang saya mahukan dan dia seakan mengerti kehendak serta citarasa saya, setelah berbincang kami terus ke studio bagi memulakan proses rakaman lagu tersebut.

“Bayangkan proses untuk menyiapkan lagu ini bermula dari bulan Februari sehingga Oktober kerana banyak perkara terpaksa saya uruskan sendiri dengan tunjuk ajar komposer yang banyak membantu dan saya pelajari dari A sehingga Z,” ulasnya.

Menurut Ayu, single Kejam ini menceritakan tentang hubungan yang bertepuk sebelah tangan.

“Lagu ini sebenarnya berkisar sepasang kekasih yang mengharapkan cinta namun tidak balas dan tiada kata putus lantas perbuatan kekasihnya ‘kejam’ kerana telah dipersiakan sebegitu.

“Saya sengaja memilih genre balada kerana mahu menonjolkan kemampuan vokal saya dalam sisi berbeza dengan sentuhan melodi ala 90-an namun tetap kedengaran ‘fresh’ dan baharu,” ungkapnya.

Bagi Ayu, setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya dan perlu banyak bersabar kerana tidak mudah untuk kembali ke arena seni suara setelah menyepi buat sekian lamanya.

Single Kejam boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala lirik videonya yang berkonsepkan ‘simple elegance’ boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Alternate Records.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Selepas 7 tahun menyepi, Jason Mraz pilih Malaysia untuk konsert mega Oktober depan! Tiket mula dijual 11 Jun ini

SELEPAS tujuh tahun menanti, peminat muzik tempatan bakal kembali disatukan dengan pelantun lagu hit global I’m Yours, Jason Mraz,...

More Articles Like This