TRELER filem 'Pulau' menunjukkan beberapa adegan kurang sopan dan lucah. - Gambar tangkap layar filem Pulau di Youtube

PERSOALAN mengenai bagaimana kandungan treler bagi filem ‘Pulau’ yang mempunyai adegan-adegan yang tidak sesuai untuk tontonan awam diberi kebenaran untuk dikongsi di media sosial oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) akhirnya terjawab.

Hal itu apabila LPF dalam kenyataan hari ini memaklumkan yang pihaknya menerima kandungan treler yang berbeza semasa untuk penapisan berbanding apa yang dikongsi di media sosial.

Jelas LPF, kandungan yang ditayang dan dikongsi di media sosial juga adalah di luar bidang kuasa mereka.

“LPF, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan tugas berdasarkan kepada Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) yang menetapkan fungsi penapisan filem dan bahan publisiti filem yang disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan, diedarkan atau dipancarkan secara fizikal (konvensional) kepada masyarakat umum di Malaysia, kecuali melalui internet.

“LPF mengambil maklum akan isu yang berbangkit bagi filem bertajuk Pulau yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat umum di Malaysia setelah promosi filem ini dimulakan melalui perkongsian poster dan sedutan treler filem menerusi media sosial.

“Treler filem Pulau telah ditayangkan secara dalam talian (melalui platform internet), maka didapati bahawa kandungan yang ditayang tersebut adalah di luar bidang kuasa LPF,” jelas kenyataan tersebut.

Baca lagi: Filem ‘Pulau’ tidak sesuai ditayangkan, perlu teliti semula SOP – Fahmi

Mengulas lanjut, LPF berkata, LPF akan meneliti dan memberikan perhatian khusus berpandukan kepada Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) KDN 2010.

Jelasnya, ia merangkumi aspek-aspek seperti keselamatan dan ketenteraman awam; keagamaan; sosiobudaya; dan ketertiban dan ketatasusilaan.

LPF memaklumkan, filem Pulau adalah merupakan sebuah filem seram dan bukan filem porno seperti yang digembar-gemburkan.

“LPF sentiasa peka dengan tatasusila serta sosiobudaya masyarakat dan melaksanakan penapisan filem sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan.

“LPF menghargai pandangan dan maklum balas berkenaan dengan penapisan filem di negara ini. LPF juga sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak terutamanya pandangan yang bersifat konstruktif berdasarkan kepada keseluruhan kandungan sesuatu filem,” jelas LPF.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram