PAS menegaskan tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau sogokan rasuah kepada pengundi seperti yang didakwa beberapa pihak.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jelas bercanggah dengan ucapan dan makna sebenar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurut Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut, Abdul Hadi ketika menjawab soalan media di Negeri Sembilan menyebut bahawa undang-undang pilihan raya tidak membenarkan calon dan wakil calon memberikan sumbangan kepada pengundi.
Kata beliau, Abdul Hadi memaklumkan sekiranya ada individu atau orang awam yang hendak memberikan sumbangan, terpulang kepada mereka sendiri.
“Ada pun sumbangan orang awam tersebut tiada kaitan dengan calon, wakil calon atau Pas sebagai sebuah parti yang bertanding.
“Adalah ditegaskan Pas tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau sogokan rasuah kepada pengundi berbanding pihak lain yang terkenal dengan amalan politik wang sama ada dalam pemilihan parti mahu pun pilihan raya dan tiada keabsahan moral untuk membangkitkan perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Sedekah PRU-15: ‘Kalau dia buat sedekah, kalau kita rasuah’ – Ahmad Zahid
Semalam, Ahmad Zahid menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai hipokrit.
“Kalau dia buat (dipanggil) sedekah, kalau kita (buat) dipanggil rasuah. Ulama ini jangalah tukar-tukar hukum.
“Akhirnya ulama politik tak akan dihormati oleh rakyat dan orang Islam,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata pemberian wang tunai sewaktu kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu adalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.
Sehubungan itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemberian wang tunai itu tidak menyalahi peraturan pilihan raya.
Menurut Abdul Hadi, pemberian itu melibatkan orang awam, bukannya calon atau wakil-wakil calon.
“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah maka terpulang kepada dia,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

