DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR./Gambar Bernama

PAS akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri di tiga negeri yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) untuk membincangkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membolehkan ia diadakan serentak dengan tiga negeri di bawah pentadbiran parti itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata perjumpaan itu akan dilakukan pada minggu depan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari, Menteri Besar, Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Menurutnya, walaupun pertemuan tidak rasmi telah pun diadakan akhir tahun lalu, namun tidak ada sebarang keputusan yang dicapai berhubung tarikh yang sesuai untuk PRN diadakan serentak di enam negeri terlibat.

“Keputusan sama ada PRN akan diadakan serentak atau tidak kami akan bincang dulu,” katanya selepas majlis Apresiasi Penerima Biasiswa Young Talent Scholarship Programme (YT-TI) 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Baca artikel lain: Tengku Zafrul intai peluang di PRN Selangor?

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu, tetap berharap PRN dapat diadakan serentak bagi memudahkan rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguruskan pilihan raya tersebut.

“Kemungkinan untuk tidak berlaku serentak atau tak itu ada. Tidak ada mana-mana pihak boleh paksa negeri-negeri lain untuk jalankan PRN sekali. Tetapi tiga negeri PAS telah sepakat akan buat pada tarikh sama.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebelum ini, menegaskan bahawa parti itu akan membuat keputusan sendiri berhubung tarikh PRN bagi tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Abdul Hadi turut menyerahkan kepada PH untuk membubarkan DUN di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor itu serentak dengan tiga negeri pentadbiran PAS atau sebaliknya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram