- Gambar Beerkus/Skyscraper City

POLIS telah pun meminta bantuan daripada Biro Pusat Nasional (NCB) Moscow, Polis Antarabangsa (Interpol) di Rusia bagi menjejaki pasangan yang didakwa menceroboh Menara Merdeka 118.

Memetik laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya sedang menunggu butiran lanjut berhubung dua individu berkenaan.

Menurut beliau, polis sudah pun membuat permohonan berkenaan pada 5 Januari lalu.

“Setakat ini, kita masih menunggu dan percaya kedua-dua individu itu sudah keluar dari negara ini.

“Sehingga kini, seramai 13 individu sudah dirakam percakapan, termasuk kakitangan bangunan terbabit dan pengawal keselamatan,” katanya.

Mengulas mengenai video lain yang menyasarkan Menara Merdeka 118 sebagai lokasi melakukan aktiviti ekstrim, Noor Dellhan memaklumkan akan melakukan perbincangan dengan pemilik menara berkenaan.

Katanya, ia juga melibatkan pengurusan bangunan lain.

“Polis akan melakukan perbincangan dan menilai apa tindakan seterusnya yang boleh diambil.

“Bukan sahaja di menara terbabit, malah perbincangan juga akan dilakukan dengan pengurusan bangunan lain,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Polis siasat ketulenan video pasangan ceroboh Menara Merdeka 118

Sebelum ini, warga Rusia, Angela Nikolau dalam ciapan di Twitter ‘berkongsi’ taktik yang digunakan untuk menceroboh Menara Merdeka 118 sehingga ke bahagian puncak menara kedua tertinggi di dunia itu.

Angela dalam ciapan tersebut turut mendedahkan memakai tudung dan menyamar sebagai pekerja binaan untuk memasuki menara berkenaan.

Dia juga memaklumkan menyewa sebuah apartmen dengan pemandangan menara itu hanya untuk menjalankan pengawasan dan pemerhatian terhadap bangunan tersebut.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang menjalankan siasatan dakwaan pasangan dari Rusia yang menyatakan mereka telah berjaya memanjat dan merakam gambar berada di puncak Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.

Pasangan itu yang dikenali sebagai Ivan Beerkus dan Angela Nikolau disiasat kerana disyaki menceroboh bagi memanjat bangunan berkenaan.

Gambar Ivan dan Angela dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com dna kemudiannya di Says.com yang menunjukkan kedua-dua pasangan itu di dakwa berdiri di atas puncak bangunan.

Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram