BELUM pun selesai isu pasangan Rusia dikatakan menceroboh dan memanjat Menara Merdeka 118, satu lagi video memaparkan empat individu dipercayai warga asing memanjat menara kedua tertinggi di dunia itu tular.
Video itu dikongsi seorang pengguna Facebook, Paul Wong, berkapsyen “Lagi satu kes” menerusi halaman JB Tracer: Johor Bahru Traffic, Crime & Community Service hari ini.
Berdasarkan tulisan dalam video berkenaan, difahamkan empat warga asing itu telah bertindak menceroboh menara tersebut sehingga ke bahagian puncak.
Keempat-empat individu tersebut kemudiannya duduk di bahagian puncak dan mengambil gambar pemandangan sekitar Kuala Lumpur.
Difahamkan, mereka mengambil masa enam jam untuk sampai ke puncak Menara Merdeka 118 itu.
Dalam video penuh yang dimuat naik ke laman YouTube, kumpulan berkenaan sebelum itu turut memanjat ke bahagian bumbung sebuah hotel bersebelahan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).
Baca artikel berkaitan: Polis siasat ketulenan video pasangan ceroboh Menara Merdeka 118

Kumpulan tersebut didapati menceroboh dengan menggunakan tangga kecemasan menara tersebut secara senyap-senyap sebelum bertindak memotong kunci di tangga berkenaan.
Sebelum ini, polis melakukan siasatan bagi mengenal pasti ketulenan video pasangan dipercayai warga Rusia yang didakwa menceroboh Menara Merdeka 118, baru-baru ini.
Pasangan itu yang dikenali sebagai Ivan Beerkus dan Angela Nikolau disiasat kerana disyaki menceroboh bagi memanjat bangunan berkenaan.
Gambar Ivan dan Angela dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com dan kemudiannya di Says.com yang menunjukkan kedua-dua pasangan itu di dakwa berdiri di atas puncak bangunan.
Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, hasil semakan mendapati kejadian dilaporkan berlaku pada tahun 2021.
“Kami telah membuka kertas siasatan mengenai kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

