PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sohor kini (trending) di Twitter selepas menyanyikan lagu klasik Tamil berjudul Munbe Vaa di konsert A.Rahman-Secret of Success-Live in Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
Penyanyi berusia 44 tahun itu juga membuatkan seramai 60,000 penonton yang hadir pada malam konsert itu terpukau dan rata-rata ada yang berdiri dan memberikan ‘standing ovation’ kepadanya.
Lagu hasil ciptaan A.Rahman itu dinyanyikan oleh Siti dengan sangat baik dan lontaran vokalnya juga cukup sempurna. Tidak mustahil lah jika namanya menjadi topik utama di Twitter sehingga diciap hampir 16,000 ciapan.
Ia sekaligus mengukir kejayaan bermakna buat Siti apabila diberi penghormatan untuk menyanyikan lagu ciptaan penyanyi legenda kelahiran India tersebut.
“Ini merupakan satu penghormatan buat saya. Melangkah tahun ke-27 dalam industri muzik, membuka tirai tahun 2023, saya memulakan lembaran portfolio karier seni dengan catatan peribadi untuk impian yang menjadi kenyataan.
“Terima kasih kepada seluruh penonotn di Stadium Nasional Bukit Jalil yang telah memberikan saya semangat dari mula menyanyi hingga ke akhir lagu Munbe Vaa. Anda semua memang best,” tulis Siti di Instagram.
Konsert anjuran DMY Creation Sdn Bhd itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Konsert A. R Rahman – Secret of Success – Live in Malaysia 2023 mendapat sokongan hebat tidak berbelah bahagi daripada 14 negara termasuk Malaysia, India, Singapora, Dubai, Vietnam, Indonesia, United Kingdom, Thailand, Australia, Sri Lanka, Saudi Arabia dan beberapa negara lain lagi.